Thursday, 22 February 2018

PROJEK KERAJAAN PUSAT DI KELANTAN

Sebanyak 364 projek yang bernilai RM14.83 bilion dilaksanakan di Kelantan dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11 - 2016-2020).

Daripada jumlah itu, sebanyak 97 projek berimpak tinggi akan dan sedang dilaksanakan membabitkan kos RM11.62 bilion.

Antara projek berimpak tinggi itu adalah pembesaran dan menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra membabitkan kos RM483 juta; Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (Pakej 1b Pasir Hor-Kadok) berjumlah RM310.5 juta.

Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai, Pakej 2b Ketereh ke Kok Lanas (RM229.79 juta); Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai Pakej 2A, Kadok-Ketereh (RM189.28 juta); Central Spine Road (CSR) Pakej 3 Gua Musang ke Kampung Relong, Pahang (RM253.5 juta).

Kerajaan Pusat juga akan membina jejambat dari Kota Bharu ke Bulatan Wakaf Bharu bernilai RM144.49 juta yang akan mengatasi kesesakan teruk di kawasan itu.

Selain itu, Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Kewangan juga menyediakan peruntukan geran tahunan kepada negeri Kelantan membabitkan jumlah RM350 juta sehingga Oktober tahun 2017.

Ia membabitkan pemberian kekurangan akaun mengurus kerajaan negeri seperti membayar gaji dan sebagainya sebanyak RM54.6 juta.

Menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan geran tahunan sebanyak RM21.3 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Kelantan.

Peruntukan itu adalah untuk pembayaran gaji kakitangan; pembelian peralatan pentadbiran serta perkhidmatan perbandaran; pelaksanaan program dan sebagainya.

Kerajaan Pusat turut menyalurkan siling peruntukan sebanyak RM90.13 juta untuk 701 projek dari tahun 2014 hingga 2017 untuk membantu PBT dalam penyelenggaraan dan menaiktaraf kawasan pentadbiran tempatan bagi membolehkan rakyat menikmati taraf sosial ekonomi yang selesa.

Sebanyak RM168.86 juta lagi diperuntukkan untuk projek pembinaan dan baik pulih masjid serta surau.

Kerajaan Pusat juga memperuntukkan RM91.3 juta pada tahun 2017, untuk membayar elaun imam, guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru Takmir, pegawai penyelaras masjid daerah, fasilitator pusat khidmat keluarga dan bantuan sekolah pondok, Sekolah Menengah Agama Rakyat dan institut tahfiz.

No comments:

Post a Comment