Friday, 11 June 2021

CARA TANAM POKOK DURIAN SELAT

Buah durian belanda atau durian selat dan durian sayur mendapat permintaan tinggi sehingga sukar diperoleh. Jadi, jom tanam sendiri pokok durian selat. Banyak informasi mengenai durian belanda dan khasiatnya yang telah mengangkatnya sebagai satu jenis tanaman berpotensi tinggi untuk diusahakan.

Menanam pokok durian belanda memerlukan anakbenih berkualiti. Anak benih disemai di dalam polibag. Apabila ketinggiannya mencecah satu kaki hingga 2 kaki (usia dua hingga 3 bulan), ia dipindahkan di tempat penanaman kekal.

Penanaman durian belanda atau di Indonesia dikenali sirsak memerlukan jenis tanah subur yang mempunyai sistem saliran baik. Tanah perlu disediakan dengan memilih kawasan yang tidak bertakung air kerana pokok durian belanda amat sensitif dengan air bergenang dalam tanah.

Kalau tanah tersebut mempunyai paras air tinggi dalam tanah juga perlu dielakkan. Ini kerana jika akar tunjang durian belanda mencecah paras air dalam tanah maka ia akan mula mati pucuk dan timbul masaalah lain.

Untuk menanam anak benih, gali lubang dengan ukuran 50cm x50 cm x 50 cm di mana setiap lubang diberi baja organik dan CIRP dengan kadar kira-kira 10 kilogram kemudian dicampur dengan tanah. 

Penanaman sebaiknya dilakukan di awal musim hujan untuk membantu tumbesaran yang baik. Jika ditanam pada musim panas, ia perlu disiram minimun dua hari sekali.

Pembajaan dilakukan dengan memberikan baja dengan kadar yang mencukupi.  Pemberian baja sebatian NPK kali pertama adalah berupa NPK dengan kadar 1.0 kg sepokok dengan cara dicampurkan pada media tanam. 

Kemudian apabila pokok berumur 4 - 8 bulan setelah ditanam diberikan kadar sama dengan dengan menabur di sekeliling pokok iaitu sekitar 30 cm dari pangkal pokok. Selepas membaja juga disyorkan menutup tanah dan disiram dengan air. 

Jika dijaga rapi dan mendapat baja yang secukupnya, pokok durian belanda akan mula berbunga selepas setahun penanaman. Proses pendebungaan bagi pokok durian belanda amat penting dalam penghasilan buah.

Buah durian belanda lazimnya tidak mempunyai bentuk yang seragam. Buah yang terbentuk lengkap selalunya membunyai bentuk seperti hati dan bulat penuh. 

Bagaimana pun selalu dijumpai di mana buahnya bengkok atau berlekok. Memetik buah durian belanda selalu dilakukan apabila buah sudah betul-betul tua.

Buah durian belanda yang selalu dianggap tua dapat dilihat apabila kelihatan durinya sudah saling berjauhan dan warna kulit buah yang asalnya selalu berwarna hijau berkilat berubah menjadi hijau kekuningan.  

Pokok durian selat boleh mengeluarkan hasil sehingga lebih dari 20 tahun.

No comments:

Post a Comment