Catatan mengingati Mak Yoh Pak Leh. Insan biasa yang tinggal
di Jalan Masjid Padang Bongor, Kota Bharu, Kelantan.
Namun, ada kenangan untuk diingati oleh mereka yang mengenalinya.
Tentu sekali anak, menantu dan cucu akan mengingatinya yang telah meninggal
dunia pada 11 Oktober 2026.
Insan yang nama penuhnya Sepiah binti Ismail adalah orang
kelainan upaya (OKU) penglihatan.
Dipanggil "Mok Yoh" di kalangan jiran atau sesiapa
yang mengenalinya sebagai kependekan "Sepiah".
Pak Leh pula adalah nama suaminya. Salleh.
Memang di kalangan orang kampung, untuk mengidentitikan
seseorang agar mudah dikenali dan diingati, maka akan dirangkaikan nama empunya
diri dengan individu lain yang mempunyai hubungan dengannya.
Nama panggilan Mok Yoh Pak Leh itu digunakan di kalangan
golongan tua.
Manakala di kalangan orang muda pula dipanggil Mok Yoh Mat
Roni. Mat Roni atau Roni adalah anaknya. Dia tinggal bersama-sama Roni setelah
Pak Leh meninggal dunia lebih 40 tahun lalu.
Mok Yoh juga dikenali Mok Yoh Tuke Urut. Ini kerana Mok Yoh
mahir mengurut wanita lepas bersalin.
Biarpun penglihatannya tidak sempurna, Mok Yoh boleh
bergerak sendiri ke mana-mana dengan menggunakan deria ingatan dan keyakinan
diri.
Hanya apabila usianya lanjut, dia sering ditemani oleh anak
atau cucunya untuk pergi ke mana-mana.
Mok Yok tetap sihat biarpun usia telah mencapai lebih 80
tahun, sehinggalah beberapa bulan sebelum meninggal keadaan kesihatannya
sedikit merosot atau sakit tua.
Tahun Mok Yoh dilahirkan ialah 1944 seperti tercatat di kad
pengenalan. Namun, saudara mara mengatakan dia dilahirkan beberapa tahun
sebelum 1944.
Rekod kelahiran dahulu tidak tepat kerana proses pendaftaran
tidak terus dilakukan selepas kelahiran, sebaliknya ada yang mengambil masa
beberapa tahun kemudian.
Sebab itu, ada kes "umur" adik lebih tua
berbanding kakak.
Mok Yoh yang suka bercerita dan sentiasa ceria akan diingati
oleh mereka yang pernah mengenalinya.
Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman.

No comments:
Post a Comment