Sunday 17 October 2021

SEJARAH RADIO RTM

 
Sejarah tidak boleh menolak peranan A.L Birch, seorang jurutera British yang membawa set radio pertama ke Malaya pada tahun 1921. Dengan kemasukan radio tersebut, maka tertubuhlah Persatuan Wireless Johor pada tahun 1923, yang memulakan siaran melalui gelombang 300 meter.

Pada tahun 1925, Persatuan yang sama juga ditubuhkan di Pulau Pinang. Diikuti pula dengan penubuhan Persatuan Wireless Tanah Melayu di Kuala lumpur pada tahun 1928.

Persatuan Wireless Pulau Pinang telah berjaya mendapat lesen yang juga merupakan lesen pertama dikeluarkan di Malaya pada 24 Ogos 1934 atas nama seorang ahli persatuan bernama Khoo Sian Ewe.

Penubuhan Jabatan Siaran Radio di Singapura pada 1 April 1946, secara rasmi menjadi tarikh keramat bermulanya sejarah radio di Malaya.

Perkembangan dan keberkesanan Radio Malaya turut mempengaruhi Sabah dan Sarawak. Ini kerana pada tahun 1952, telah menyaksi bidang penyiaran secara percubaan bermula di Borneo Utara.

Pelancaran Rasmi Radio Sarawak pada tahun 1954 dan Radio Sabah pada tahun berikutnya telah membawa era baru kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

Siaran langsung penurunan The Union Jack dan pengisytiharan kemerdekaan yang disiarkan secara langsung oleh Radio Malaya adalah bahan sejarah yang amat penting yang telah dilaksanakan oleh Radio Malaya.

Satu demi satu peristiwa bersejarah Radio Malaya, dibawa kepada pendengarnya. Nyata Radio Malaya adalah amat penting ketika itu untuk menjadi mata, telinga dan mulut rakyat bagi menyatakan matlamat dan arah tuju pentadbiran kerajaan.

Selain daripada berperanan untuk menyebar berita, Radio Malaya banyak menyiarkan kejayaan kerajaan dalam membangun Negara. Juga mewujudkan suasana harmoni di kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Radio Malaya juga banyak memainkan peranannya dalam membentuk sahsiah diri untuk menyemarak dan memperkayakan pejuang, pelapis, pengamal seni tanah air, radio juga banyak menganjurkan pertandingan. Antaranya bintang radio yang telah melahirkan ramai bintang seni yang disegani hingga ke hari ini.

Peranan stesen radio negeri-negeri juga, banyak membantu kerajaan untuk mendengar dan menyelami permasalahan rakyat. Ini menjadikan RTM sebagai saluran yang berkesan untuk menjadi lidah rakyat dan kerajaan.

Menyedari masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan etnik, RTM telah mewujudkan beberapa siaran radio yang mewakili kaum dan etnik Malaysia. Keberkesanan stesen radio ini amat ketara dan memberi satu impak besar kepada masyarakat. Ianya dapat kita lihat sehingga hari ini.

No comments:

Post a Comment