Memberi salam hukumnya sunat muakkad, iaitu
sunat yang amat dituntut dilakukan di mana pahalanya lebih besar daripada
sunat-sunat lain.
Jika memberi salam hukumnya sunat muakkad,
tetapi menjawab salam adalah wajib bagi sesiapa yang mendengar salam itu sama
ada suka atau tidak kepada orang mengucapkan salam itu.
Bagaimanapun, dalam kumpulan ramai, memadai
salam itu dijawab oleh seorang yang mewakili kumpulan itu. Pun jika semua yang
ada itu menjawabnya, maka itu adalah lebih baik.
Diperhatikan ucapan salam tidak meluas di
kalangan masyarakat Islam di negara kita, kecuali dalam urusan rasmi. Apabila
menemui seseorang yang ingin dihormati saja ucapan salam ditujukan itiu
kebiasannya orang bawahan memberi salam kepada orang atasan.
Malah ada orang sukar melafazkan ucapan salam
kerana segan. Mereka takut dipanggil alim, sedangkan keadaan dirinya sebenar
adalah sebaliknya. Maka ucapan yang lebih kerap digunakan ialah helo, hai dan
sebagainya. Perbuatan itu membuktikan sifat malu tidak bertempat.
Tidak kurang juga tidak mahu memulakan salam
kerana merasakan kedudukannya lebih tinggi. Ucapan salam diharapkan ditujukan
kepadanya, tetapi tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain.
Mengucapkan salam tidak dihadkan bilangan.
Boleh diucapkan salam kepada orang sama setiap kali bertemu dalam selang masa
yang singkat.
Namun, jangan pula keterlaluan sehingga
menimbulkan perkara tidak disenangi. Islam lebih suka amalan dilakukan
berterusan biarpun sedikit daripada melakukan banyak tetapi dalam tempoh
singkat.
Untuk membiasakan ucapan salam, mulakan dulu
di kalangan keluarga dan sahabat terdekat. Memberi salam sebelum memasuki rumah
adalah salah satu cara mendapatkan keberkatan dan kejayaan dalam rumah tangga.
Amalan ini pernah disuruh oleh Rasulullah SAW
agar dilakukan oleh Anas seperti mana diriwayatkan Baihaqi.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Hai Anas!
Ratakanlah wududmu nescaya bertambah umurmu. Berilah salam kepada orang yang
engkau temui daripada umatku nescaya bertambahlah kebajikanmu. Dan apabila
engkau masuk ke rumahmu, maka berikanlah salam kepada keluargamu nescaya
banyaklah kebajikan rumah tangga.”
Marilah kita sama-sama mengucap dan menjawab salam.
No comments:
Post a Comment