Kanak-kanak
baharu mengenali dunia. Mereka perlu kepada panduan dan contoh untuk diikuti.
Maka, orang dewasa, khususnya ibu bapa perlu menjadi contoh kepada kanak-kanak.
Kaedah pendidikan ini paling berkesan kerana mereka akan secara spontan melakukan apa yang dilihat atau didengar. Atau, jika mereka tidak terlibat melakukan perkara itu, mereka akan jadikan sebagai ingatan dan mungkin akan diamalkan pada masa lain atau apabila dewasa nanti.
Sebab itu, setiap perkara yang kita lakukan jangan dipandang mudah atau tidak memberi kesan kepada minda kanak-kanak.
Kita perlu sedar, minda atau otak kanak-kanak adalah perakam yang baik. Mereka mudah mengingati dan menganggap perkara itu betul setiap apa yang dilakukan oleh orang dewasa.
Orang dewasa umpama cermin yang akan mematulkan contoh kepada kanak-kanak. Sebab itu, kita akan dapat lihat jika cara hidup diamalkan oleh ibu bapa dalam keadan baik, maka baiklah nilai kehidupan yang diamalkan oleh anak-anak.
Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan bahawa setiap kanak-kanak adalah dilahirkan bersih, dan ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mencoroknya menjadi muslim, majusi atau nasrani.
Dan dalam pepatah Melayu ada menyebut, bapa rintik anak borek yang menjelaskan apa yang dilakukan oleh bapa akan diikuti oleh anaknya.
Pepatah lain ada menyebut, di mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.
Kata pepatah, yang baik dijadikan pengajaran dan yang buruk dijadikan sempadan. Itu adalah satu peringatan agar kita sentiasa menjadikan apa yang berlaku di sekeliling kita dan kisah-kisah yang lama untuk dijadikan pengajaran.
Dalam hal ini, kita dapat jadi kisah tauladan sebagai satu metodologi untuk proses pendidikan kanak-kanak.
Kita boleh menceritakan kisah-kisah lalu untuk dijadikan pedemon kepada kanak-kanak. Tidak kisahlah sama ada kisah itu sejarah yang benar, mahupun cerita dongeng yang mempunyai nilai-nilai baik.
Kisah tauladan yang terbaik sudah pasti kisah-kisah nabi dan masyarakat terdahulu yang disebut dalam al-Quran, hadis mahupun dinukilkan oleh ulama.
Kisah-kisah ini memberi pengajaran yang amat berguna untuk diikuti oleh kanak-kanak. Tambah lagi apabila ia diceritakan dengan teknik penceritaan yang menarik dan berkesan.
Dalam masyarakat kita juga ada kisah dongeng yang menjadi warisan bangsa yang boleh dijadikan bahan untuk mendidik dan dijadikan tauladan kepada kanak-kanak.
Kita biasa dengar kisah Si Luncai dengan Labu-labunya, cerita Pak Kadok, Pak Pandir, Mat Jenin dan sebagainya. Semua cerita itu mempunyai usnsur moral yang boleh dicontohi dan dijadikan pengajaran.
No comments:
Post a Comment