Pada sambutan Tahun Baharu
Cina, warna merah akan menguasai kehidupan kaum Cina. Warna merah menggambarkan
keadaan yang terang dan ceria menjadi lambang kegembiraan dan menjanjikan sinar
kecerahan dalam kehidupan.
Warna merah itu
dipanggil ‘hong’ dalam bahasa Cina dan bunyinya kedengaran seperti
ong atau bertuah. Maka, masyarakat Cina percaya warna ini akan membawa tuah
jika dipakai pada hari pertama Tahun Baharu Cina dan majlis perayaan yang
lain.
Mereka
percaya dengan pemakaian warna ini akan dilimpahi tuah dan kecemerlangan
sepanjang tahun.
Nasib
mereka akan ditimpa malang sekiranya memakai pakaian yang berwarna hitam dan
warna-warna yang gelap.
Sebab itu, adalah dilarang
memakai baju hitam, biru dan kelabu dalam majlis-majlis perayaan kerana
dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.
Hiasan
tanglung berwarna merah yang pelbagai saiz dan bentuk sering
memenuhi kawasan kediaman masyarakat Cina. Ini menunjukkan perayaan
itu akan disambut dengan cukup meriah.
Hiasan
dalaman rumah dan tanglung-tanglung serta birai pintu rumah juga akan
diwarnai dengan warna merah bagi menyambut ketibaan tetamu. Hiasan
bunga-bunga juga berona merah mewujudkan semangat keceriaan yang padu dan
harmoni.
Semasa
zaman dahulu orang-orang tua masyarakat Cina sering berpesan agar
orang-orang kampung menggantungkan kertas berwarna merah di pintu-pintu dan
tingkap-tingkap rumah mereka pada setiap waktu menjelangnya tahun baharu.
Ini
kerana dikhuatiri binatang bernama Nian (raksaksa) akan mengganas di
kawasan rumah mereka. Warna merah sangat ditakuti oleh Nian, dan mampu
menghalau raksaksa tersebut.
Kanak-kanak
atau sesiapa yang belum berkahwin layak menerima angpau tanpa mengira usia.
Angpau ialah wang yang dimasukkan ke dalam sampul kecil sebagai hadiah. Sampul
yang digunakan adalah berwarna merah.
Warna
merah sampul ini melambangkan tuah. Jumlah wang yang terkandung dalamnya
lazimnya dikehendaki bermula dengan angka genap kerana angka ganjil dikaitkan
dengan wang yang diberi ketika majlis pengebumian.
Warna
merah sebenarnya membawa maksud keteguhan, keberanaian, keceriaan dan kemegahan.
Warna ini dikatakan memberi dorongan kepada keadaan yang lebih positif
dalam kehidupan masyarakat Cina.
Warna ini
sering digunakan dalam perayaan dan sambutan majlis kebesaran mereka kecuali
hari-hari yang menunjukkan keadaan kesedihan dalam kehidupan mereka.
Warna
ini akan terus menjadi simbol kemegahan masyarakat tersebut malah melambangkan
keteguhan dan kemegahaan negara apabila digunakan sebagai simbol pada
logo-logo, lencana, bendera dan setem malah turut diterjemahkan pada wang
kertas dan duit syiling.
Warna
merah menguasai hampir setiap ruang di dalam dan luar rumah mereka. Bila
tibanya perayaan ini hiasan berwarna merah sering digantung sepanjang
jalan yang menandakan perayaan itu kini bukan sahaja disambut oleh masyarakat
tersebut tetapi juga sudah menjadi seperti perayaan seluruh masyarakat.
No comments:
Post a Comment