Monday, 16 October 2023

MENCARI NAFKAH UMPAMA LAKUKAN JIHAD

 
Tuntutan mencari rezeki menjadi tugas semua individu yang berkemampuan melakukannya. Tugas ini tidak terkecuali bagi golongan belia dan remaja lepasan sekolah dan pusat pengajian tinggi.
 
Bekerja mencari rezeki halal penting bagi memenuhi keperluan hidup agar dapat menjalani kehidupan dengan selesa dan mampu menjalankan amanah Allah dengan sebaik-baiknya. 
 
Tanpa mempunyai pekerjaan yang memberi pendapatan, belia dan remaja terpaksa terus mengharapkan bantuan daripada ibu bapa untuk mendapat wang bagi membeli sesuatu keperluan dan perkhidmatan. Sikap itu merugikan diri sendiri dan negara. Tenaga dan fikiran yang dikurniakan Allah perlu digunakan untuk kebaikan, bukannya dibiarkan tanpa dimanfaatkan. 
 
Setiap belia perlu berdikari mencari pekerjaan yang dapat memberi pendapatan, terutama mereka dari keluarga miskin. Sikap terus bergantung kepada ibu bapa akan menambah beban ekonomi keluarga. 
 
Anak-anak yang telah mencapai usia mampu bekerja (dalam konteks undang-undang di negara kita usia 18 tahun dan ke atas dikira layak bekerja) perlu bekerja. Bahkan, jika telah meninggalkan bangku sekolah lebih awal (tidak meneruskan persekolahan disebabkan gagal), elok terus bekerja mengikut kesesuaian kelulusan dan tenaga. Pendapatan yang diperolehi dapat digunakan membantu keluarga meningkat taraf kehidupan seharian.
 
Amat besar pahala anak-anak yang membantu keluarga dalam soal kewangan. Anak yang soleh (melakukan sesuatu mendatangkan kebaikan untuk ibu bapa dan keluarganya) dijanjikan balasan kebaikan. Bahkan, sesiapa sahaja melakukan kebaikan itu pasti akan mendapat kebaikan. 
 
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan pernama.” -(Hadis riwayat Thabrani).       
 
Islam menggalakkan umatnya mencari kekayaan dan kemewahan hidup kerana dengannya Islam mampu berkembang, dipandang tinggi dan dipertahankan jika terdapat ancaman. Sebab itu mencari rezeki satu tuntutan agama yang dikira sebagai ibadat. 
 
Maksud sabda Rasulullah: “Mencari rezeki halal adalah fardu selepas fardu solat.”.  Firman Allah bermaksud: “Dan carilah kebahagiaan di akhirat yang telah Allah janjikan kepada kamu. Tetapi, janganlah pula kamu lupa akan habuan kamu di akhirat.” - (surah al-Qashash ayat 77).
 
Mereka yang bekerja bukan sahaja bertujuan memperolehi kekayaan, bahkan sebagai satu cara berjuang ke jalan Allah. Sesuatu yang mendatangkan kebaikan, merupakan satu perjuangan yang diberi balasan kebaikan. 
 
Kisahnya, sedang Rasulullah berbual-bual dengan para sahabat, seorang lelaki berbadan tegap dan kuat (dalam lingkungan umur belia) lalu di hadapan mereka. Maka para sahabat pun berkata: “Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika orang itu berjuang untuk membela agama Allah.” Lalu Rasulullah pun menjawab dengan sabdanya:
 
“Jika lelaki itu keluar dari rumahnya untuk mencari nafkah untuk anak-anaknya yang masih kecil, itu juga fisabilillah namanya. Mencari rezeki untuk kedua orang tuanya yang sudah tua, juga dinamakan fisabilillah. Mereka mencari rezeki untuk dirinya sendiri supaya tidak meminta-minta juga dikira fisabilillah. Tetapi, jika keluar kerana niat bongkak dan menunjuk-nunjuk, ia dikira sebagai fisabilissyaitan (mengikut jalan syaitan).” - (hadis riwayat at-Thabrani).
 
Jelaslah bahawa usaha mencari rezeki perkara yang amat dituntut dalam Islam. Kesempatan bekerja ketika usia muda dan masih bertenaga merupakan peluang yang perlu digunakan sepenuhnya. Alasan ingin enjoy dan belum mempunyai tanggungjawab, sebagai sebab belia tidak mahu bekerja amat janggal.
 
Rasulullah pernah mengingatkan belia (pemuda) agar menggunakan kesempatan umur muda sebelum sampai umur tua. Ketika muda tenaga masih kuat, bersemangat, tahan cabaran dan bercita-cita. Kesempatan ini perlu digunakan sepenuhnya untuk membina kejayaan hidup. Umur muda kesempatan bagi memulakan satu perjuangan yang masih jauh. 

No comments:

Post a Comment