Manusia mendapat kedudukan istimewa berbanding
makhluk lain. Meskipun begitu, kegagalan manusia memenuhi tanggungjawabnya
sebagai insan dalam kaca mata Islam akan meruntuhkan pengiktirafan berkenaan
sehingga darjat manusia sama saja dengan status haiwan.
Dalam konteks agama Islam, ruang lingkup
amalannya perlu diharmonikan dengan nilai murni yang perlu dihayati dan
dibudayakan oleh setiap individu Muslim agar kejayaan yang ingin dicapai
benar-benar menepati falsafahnya.
Keperluan kepada nilai itu penting kepada
setiap insan dalam merangka kehidupan manusia yang seimbang dari aspek rohani,
spiritual dan intelektual. Dalam mengurus institusi manusia amnya, elemen
agama, akhlak dan etika perlu diberi keutamaan.
Elemen yang dinyatakan ini menjadi asas
yang bersifat fundamental dalam proses membangunkan nilai-nilai kemanusiaan
positif. Ia perlu diolah secara kreatif dan komprehensif supaya pemahaman
nilai-nilai murni yang berteraskan nilai rohaniah dapat diseimbangkan dengan
faktor pematuhan, penghayatan dan pengamalan.
Banyak kepincangan berlaku dalam institusi
masyarakat antaranya adalah disebabkan oleh mengutamakan nilai materialistik,
bersifat individualistik, terpengaruh dengan faktor peredaran semasa serta
nilai negatif lain. Oleh yang demikian, tidak menghairankan sekiranya
pihak pemerintah begitu menekankan penghayatan nilai-nilai murni di kalangan
masyarakat.
Realitinya, kepentingan nilai-nilai murni
perlu dijadikan agenda keutamaan dalam proses membangunkan institusi manusia.
Hal yang demikian disebabkan agama adalah kemuncak keutamaan bagi manusia dan
agama juga menjadi petunjuk hakiki kepada kejayaan dikecapi manusia.
Kehidupan manusia perlu dibimbing dengan
panduan wahyu supaya setiap tindakannya sentiasa bertepatan dengan tuntutan
keagamaan dan selari dengan fitrah kemanusiaan. Manusia yang terpinggir dengan
pedoman wahyu sering kali melanggar arahan dan peraturan agama serta bertindak
di luar norma kemanusiaan demi memenuhi cita-citanya atas desakan hawa nafsu.
Sebaliknya, individu Muslim yang beriman
sentiasa bertindak berasaskan nilai-nilai mahmudah yang diutarakan oleh Islam
dan sentiasa berhati-hati dalam tindak-tanduknya. Golongan manusia sedemikian
bukan saja mempunyai personaliti dan akhlak terpuji sesama manusia, malah pada
masa sama, mereka juga memiliki adab yang baik dengan Allah SWT.
Ironinya, inilah keistimewaan dan keunikan
sistem agama yang berteraskan order tauhid rabbani. Sistem ini dihormati dan
diiktiraf oleh manusia atas sifatnya yang sejagat dalam memelihara keharmonian
dan ketenteraman manusia bukan saja di alam dunia bahkan berkesinambungan di
alam akhirat.
Meskipun nilai-nilai murni dilihat sebagai
subjektif, mengetepikan nilai moral rohaniah akan menjadi pembangunan insan
tidak bersifat holistik. Ini kerana, dengan mengabaikan nilai-nilai luhur yang
mempengaruhi tingkah laku manusia ia akan memberi dampak negatif kepada
kerangka perhubungan manusia sesama manusia secara bersepadu.
Justeru, nilai murni yang bersumberkan
nilai rohaniah menjadi formula terbaik untuk mendidik masyarakat mengenai
nilai-nilai fitrah kemanusiaan yang murni, menyedarkan manusia mengenai hak dan
tanggungjawab sosial lain.
No comments:
Post a Comment