Saturday, 18 November 2023

AKIBAT ULAMA SERTAI POLITIK

 
Penglibatan golongan ulama dalam politik sudah tentu akan menyokong parti politik yang disertai. Dalam hal ini, mereka layak dipanggil pemimpin dan bukan lagi maksud ulama yang diharapkan menjadi penasihat kepada pemimpin.
 
Sebagai golongan yang dihormati dan dipandang tinggi dalam sebuah negara Islam, ulama yang berpolitik menyebabkan kata-kata mereka ditakrif sebagai ahli politik oleh setengah pihak dan pihak lain pula menganggap sebagai ulama. 

Keadaan ini dapat dilihat apabila ulama yang berpolitik sering mengikut keputusan parti politik yang disertai atau disokong, berbanding menggunakan hujah agama dalam membincangkan sesuatu isu.  
 
Dalam menangani sebarang perselisihan faham yang membabitkan elit politik atau penguasa, sudah sewajarnya golongan ulama tampil ke hadapan bagi menjernihkan kekusutan yang berlaku.
 
Ini seperti mana Iman Al-Ghazali yang memainkan peranan besar dalam mendamaikan konflik dan kekacauan politik yang berlaku dalam masa pemerintahan Saljuk menerusi nasihat politik yang didokumentasikan dalam  kitab “TIbr fi Nasihat al-Mulk”.
 
Ulama memainkan peranan yang cukup besar bagi memastikan penguasa tidak menyalah guna kuasa dengan sewenang-wenangnya.
 
Penyertaan ulama atau mufti memainkan peranan sebagai penghubung dan sekali gus sebagai pendamai pihak-pihak yang bertelingkah.
 
Dalam Ihya Ulumuddin, al-Ghazali menjelaskan bahawa krisis penguasa sebenarnya adalah berpunca daripada krisis ulama. Beliau mengatakan: “Sesungguhnya, kerosakan rakyat disebabkan oleh kerosakan para penguasanya, dan kerosakan penguasa disebabkan kerosakan ulama, dan kerosakan ulama disebabkan oleh kerosakan cinta harta dan kedudukan, dan barang siapa dikuasai oleh cita-cita duniawi, ia tidak akan mampu mengurus rakyat kecil. Allah-lah tempat meminta segala persoalan.” (Imam al-Ghazali, Ihya’ Ulumuddin, Juz II, hal. 381).
 
Nabi Muhammad SAW bersabda: ”Sebaik-baik syuhada’ (mati syahid) adalah Hamzah Abd. al-Muthalib, kemudian orang yang berdiri di hadapan imam lalu memerintahnya (berbuat maruf) dan mencegahnya (dari berbuat yang mungkar) kerana Allah, lalu ia terbunuh untuk itu”. (Hadis riwayat Hakim)
 
Institusi ulama belum berjalan dengan baik dan berkesan kerana segelintir ulama lebih cenderung untuk berpolitik serta membentuk gaya kepimpinan yang eksklusif, berada dalam kelompoknya dan hidup secara berasingan.
 
Apabila ada ulama yang berdampingan dengan pemimpin yang berkuasa, ulama berkenaan dikaitkan pula dengan istilah ulama suu’, ulama yang boleh dibeli dan tidak membuat penilaian secara berilmu.
 
Tuduhan sedemikian menyebabkan jarak antara ulama dan umara menjadi renggang, maka sebagai pemimpin yang berkuasa, jarak tersebut perlu didekatkan melalui program-program tertentu.
 
Kegagalan ulama dalam menjernihkan persoalan atau krisis yang berbangkit sesungguhnya akan mencetuskan persoalan mengenai kewibawaan ulama itu sendiri.
 
Para ulama yang menyokong parti-parti politik ini akan menegakkan perjuangan politik masing-masing melalui tindakan memutar-belitkan ayat-ayat al Quran supaya umat Islam terpengaruh dengan menyokong mereka.
 
Akibatnya, umat Islam yang selama ini mengharapkan peranan ulama untuk menjadi titik penamat terhadap konflik antara mereka menjadi semakin berkecamuk.
 
Sememangnya kita tidak pasti sehingga bilakah sikap taasub kelompok ulama yang terlibat dalam politik terhadap parti atau pemimpin mereka akan berterusan.

Tetapi di dalam Islam sudah dinyatakan dengan jelas antara ulama sejati (ulama khoir) yang berakhlak mulia dengan ulama su' iaitu ulama yang berakhlak buruk.

Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment