Jin adalah sebahagian daripada makhluk
Allah. Ia diciptakan sebelum daripada penciptaan Nabi Adam. Firman Allah SWT
yang berfirman: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari
tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan
baunya. Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang
panasnya menyerap ke liang bulu roma.” (Surah al-Hijr, ayat 26-27)
Ibn Kathir berkata: “Dan jin pula, Kami
jadikan dia sebelum itu,” Yakni sebelum manusia (Adam).dari angin api yang
panasnya menyerap ke liang bulu roma. Ibnu Abbas meriwayatkan: Iaitu api
panas yang mematikan. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 5/10)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Kami menciptakan
jenis Jin ini sebelum penciptaan Nabi Adam. Ia dicipta daripada api, angin yang
sangat panas sehingga dapat membakar dan membunuh sesiapa sahaja yang
mengalaminya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/20)
Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Malaikat diciptakan dari cahaya, jin diciptakan dari nyala api dan Adam
diciptakan dari apa yang disifatkan (diceritakan) bagi kamu”. (Hadis riwayat
Muslim (2996), Ahmad (25194) dan Ibn Hibban (6155)
Hubungan manusia dengan jin. Al-Quran
menjelaskan mengenai Nabi Sulaiman yang memerintah manusia dan jin. Pada masa
itu, sebahagian jin dengan izin Allah diperintahkan bekerja untuk Nabi
Sulaiman.
Mereka membuat apa saja dikehendaki Nabi Sulaiman, seperti membuat gedung yang
tinggi, patung, piring yang besarnya seperti kolam dan periuk yang tetap berada
di atas tungku (rujuk surah Saba, ayat 12-13).
Peristiwa Nabi Sulaiman memberikan tugas kepada kaum jin menunjukkan jin
mempunyai kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam bidang pembinaan dan
kejuruteraan.
Ibnu Taimiyyah membahagi manusia yang mampu memerintah jin kepada tiga
peringkat. Pertama, memerintah jin sesuai dengan yang diperintahkan Allah,
yakni beribadah hanya kepada-Nya. Siapa yang melakukan ini, ia termasuk wali
Allah yang paling utama.
Kedua, memanfaatkan jin untuk tujuan mubah (bukan yang dilarang bukan pula yang
dianjurkan agama) sambil memerintah melaksanakan kewajipan dan menghindari
larangan Allah. Orang seperti ini bagaikan raja. Kalaupun ia termasuk wali
Allah, peringkatnya di bawah peringkat pertama.
Ketiga, menggunakan jin untuk hal dilarang Allah dan Rasul, seperti syirik
serta membunuh. Manusia yang termasuk kategori ini menurut Ibnu Taimiyyah
sebenarnya tertipu oleh tipu daya syaitan.
Syeikh Muhammad Mutawalli asy-Syarawi, ulama al-Azhar kontemporari, berpendapat
Allah SWT dengan kudrat-Nya mampu menjadikan jenis makhluk yang rendah
memperalat dan mengatasi makhluk yang berkedudukan tinggi.
Jin yang baik, mungkin bersikap baik seperti manusia. Namun ada hadis
membandingkan sifat baik jin itu menyamai sikap manusia paling jahat.
Menurut asy-Syarawi, jin tidak mungkin rela diperalat oleh sesiapapun. Dengan
demikian, boleh dikatakan bahawa tidak ada jin yang ditundukkan atau diperalat
manusia, kecuali yang jahat. Ini bermakna, mereka yang berdamping dengan jin
hanya menjerumuskan diri ke lembah kehinaan. Lama kelamaan, manusia yang
berdamping dengan jin itu akan berada di bawah pengaruh jin.
No comments:
Post a Comment