Islam menganjurkan umatnya agar saling
tolong menolong. Besar manfaat dan pahala mereka yang menolong sesiapa yang
memerlukan pertolongan.
Pun begitu, jangan kita terlalu bergantung
harap kepada orang lain untuk memenuhi keperluan hidup. Berusahalah dengan
bersungguh-sungguh. Terlalu bergantung harap kepada pertolongan pihak lain
memang tidak elok. Banyak keburukannya.
Kata Ibnu Taimiyah: "Jangan pernah
bergantung terlalu banyak kepada siapapun di dunia ini. Kerana bahkan bayangan
milikmu sendiri akan meninggalkanmu saat kamu berada di dalam kegelapan"
Menjadi sunnatullah bahawa rezeki tidak
dapat diperoleh kecuali dengan usaha dan kerja keras seseorang. Islam menyeru
manusia mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti ekonomi seperti sektor
pertanian, perikanan, perindustrian, perniagaan dan perkhidmatan.
Firman Allah SWT bermaksud: "Dialah
yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata
ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan
(ingatlah), kepada Allah jugalah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan
hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya)." (Surah
al-Mulk, ayat 15)
Allah SWT menjadikan rezeki daripadaNya
sebagai hasil kejayaan usaha manusia di muka bumi ini. Sudah tentu sesiapa yang
berusaha dan bekerja, berhak untuk mendapatkan rezeki daripada Allah SWT dan
sesiapa yang tidak bekerja maka dia tidak berhak mendapatkannya.
Islam memandang tinggi pekerjaan duniawi
seperti ini dan meletakkannya sebagai ibadah dan jihad di jalan-Nya. Ia akan
menjadi ibadah jika dilakukan dengan ikhlas dan pekerjaan itu tidak menghalang
kita daripada mengingati Allah SWT serta hari pertemuan dengan-Nya.
Usaha dan pekerjaan inilah yang membantu
kita menegakkan agama dan memenuhi keperluan keluarga serta orang yang
memerlukan. Hal ini adalah tuntutan agama dan ia tidak boleh dicapai kecuali
dengan harta serta wang ringgit.
Justeru, manusia tidak akan mendapatkannya
kecuali dengan usaha dan kerja keras. Tidak hairanlah banyak nas agama menyeru
manusia kepada usaha dan kerja keras sehingga ia menjadikannya setaraf solat,
sedekah serta jihad di jalan Allah.
Pekerjaan bukan saja penting bagi individu
tetapi juga kemaslahatan masyarakat. Maka tidak patut seorang Muslim hidup
dengan cara meminta-minta tanpa berusaha. Dengan bekerja, seseorang itu dapat
menjaga maruah diri dan pada masa sama tangan nya tidak selama-lamanya berada
di bawah.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Jika
salah seorang daripada kamu mengambil tali kemudian pergi ke gunung lalu
kembali dengan seikat kayu api di belakangnya, lalu menjualnya dan dengan itu
Allah menjaga air mukanya, adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta
daripada orang ramai sama ada diberi ataupun tidak." (Hadis riwayat
Bukhari)
Andai kata seseorang berasakan tidak perlu
bekerja kerana kekayaan yang melimpah ruah, maka dia harus bekerja untuk
masyarakat dan umat. Walaupun bekerja termasuk dalam perkara yang harus, namun
apabila ditinjau dari sisi lain, ia adalah wajib kerana manusia tidak dapat
mendirikan ibadah kecuali dengan menyelesaikan keperluan hidupnya terlebih
dulu.
Imam Ar-Raghib Al-Asfahani berkata, sesiapa
yang tidak mahu bekerja dan berusaha maka dia terlepas daripada darjat
kemanusiaan bahkan terkeluar dari golongan haiwan dan masuklah dia dalam
golongan benda-benda mati.
Seorang lelaki berjalan di hadapan Abu
Darda, sahabat yang terkenal dengan kezuhudannya. Orang tersebut melihat Abu
Darda sedang menanam pokok kurma walhal usia sudah lanjut.
Maka lelaki itu bertanya, "Mengapa kamu
menanam pokok kurma sedangkan kamu sudah lanjut usia dan pokok ini pula tidak
berbuah kecuali setelah beberapa tahun? Lalu Abu Darda menjawab: Apa salahnya
jika saya mendapat pahala daripadanya disebabkan orang lain memakan
buahnya."
No comments:
Post a Comment