Produk jantan kuat dan perkasa
menjanjikan kepuasan tahap tertinggi ketika bersama isteri paling banyak
diiklankan di media sosial. Produk mendapat sambutan lelaki yang malu untuk mendapat
rawatan pakar atau mendapat ubat di farmasi.
Menggunakan tagline kuat,
besar, panjang, dayung sampai sejam, pasti isteri tersenyum dan sebagainya
banyak mengisi laman sosial dengan gambar ghairah dan menggoda.
Rata-rata si penjual menyatakan
produk hebat mereka berasaskan herba selamat digunakan. Jenama dipasarkan atas
nama makanan tambahan atau minuman kesihatan yang mana produk berkenaan tidak
perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ironinya, kesan hebat yang
didakwa itu bukan hasil bahan herba, sebaliknya telah ditambah dengan
ubat seperti sildenafil.
KKM telah mengesan banyak
produk lelaki gagah mengandungi atau dicemari dengan ubat sildenafil.
Kebanyakkan produk ini adalah diklasifikasikan sebagai makanan atau minuman.
Sildenafil sejenis ubat
tergolong dalam kumpulan farmakologi Phosphodiesterase 5 (PDE5) yang merupakan
ubat pertama diluluskan untuk merawat masalah gangguan ereksi atau mati pucuk
dalam kalangan lelaki dewasa.
Penemuan sildenafil sebagai
ubat mati pucuk berlaku secara tidak terancang. Sildenafil pada asalnya
dibangunkan oleh syarikat inovator untuk rawatan penyakit tekanan darah tinggi
dan sakit jantung.
Semasa ujian klinikal,
penyelidik mendapati bahawa ubat tersebut lebih berkesan untuk mengatasi
masalah gangguan ereksi daripada rawatan sakit jantung.
Oleh itu pada tahun 1998, Food
and Drug Authority (FDA) Amerika Syarikat telah meluluskan sildenafil sebagai
ubat untuk rawatan mati pucuk.
Mungkin ada mempersoalkan,
kalau sildenafil telah diluluskan sebagai ubat merawat lemah tenaga batin,
mengapa pula dilarang digunakan dalam pemakanan tambahan atau produk
meningkatkan prestasi tenaga batin?
Sebenarnya sildenafil hanya
boleh diberikan kepada pesakit oleh seorang doktor atau ahli farmasi berlesen
dengan preskripsi (surat ubat daripada doktor).
Ubat sildenafil ini hanya boleh
didapati melalui pemeriksaan doktor adalah kerana kesan sampingnya terhadap
fungsi jantung yang boleh membahayakan kesihatan malah boleh membawa maut
kepada pesakit jika diambil tanpa pengawasan.
Dengan kata lain, penggunaan
sildenafil yang tidak merujuk kepada doktor boleh mendatangkan bahaya. Maka,
sebab itu ia dilarang digunakan tanpa pengawasan pakar.
Kepada lelaki ingin meningkatkan
prestasi kelelakian, jumpalah pakar sakit tuan atau mendapat nasihat dari pakar
pemakanan. Melakukan aktiviti fizikal dan mengamalkan cara hidup sihat adalah langkah
bijak.
No comments:
Post a Comment