Sunday, 4 February 2018

PECAH BAGAI KACA AKIBAT BEZA PENDAPAT

Umat Islam akan kuat dan berkuasa jika bersatu. Pihak yang bertelagah dan berlainan fahaman perlu melupakan perbezaan yang menjadi punca pertentangan sesama sendiri. Formula yang membolehkan semua umat Islam bersatu perlu difikirkan bersama.

Perbezaan fahaman atau pendekatan dalam soal mencapai sesuatu matlamat tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada perpaduan dan persaudaraan yang menjadi teras ajaran Islam. 

Janganlah kerana perbezaan pandangan membawa kita kepada pertelingkahan dan permusuhan.

Hasan al-Banna berpesan: "Kami bekerjasama dalam hal-hal yang kami sepakati, tetapi kami saling berlapang dada dan bermaafan dalam hal yang kami berselisih pendapat."

Amat malang sekali apabila perbezaan itu menyebabkan sesama Islam bermusuhan sesama sendiri. Umat Islam semakin lemah dan tidak berpeluang untuk bersaing dengan penganut agama lain yang semakin bergerak ke hadapan meninggalkan kita dalam segenap segi.

Ketika orang Islam semakin ditindas dan dianiayai di seluruh dunia, ada kelompok orang Islam bermusuhan sesama sendiri. Fenomena ini berlaku disebabkan percanggahan pendapat dan untuk kepentingan kelompok tertentu.

Lihatlah apa yang berlaku di Palestin sekarang apabila dua kumpulan umat Islam kononnya sama-sama memperjuangan negara Palestin dan umat Islam bermusuhan sesama sendiri.

Umat Islam dibunuh atau terbunuh akibat pertelingkahan sesama sendiri adalah lebih banyak berbanding yang dibunuh oleh musuh Islam.

Kedudukan umat Islam yang lemah sekarang ini sepatutnya membuka peluang umat Islam lebih bersatu menentang segala ketidak adilan ciptaan kuasa besar yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam.  

Umat Islam di seluruh dunia sekarang ini dilayan oleh masyarakat antarabangsa seakan-akan lebih hina daripada binatang. 

Tidak ada individu atau puak yang betul-betul sempurna. Kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan mempunyai kelemahan. Sebab itu penting kita mengamalkan sikap terbuka dan bersedia menerima teguran daripada orang lain.

Allah SWT menyebut dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya." (Surah Ali-Imran, ayat 103)

No comments:

Post a Comment