Sunday, 4 February 2018

MENGAPA ADA PENGUNDI HANTU

Terdapat dua sistem pendaftaran pemilih yang telah digunakan oleh SPR khusus untuk meningkatkan lagi kefahaman masyarakat umum mengenainya.

Pertama, ialah Sistem Pendaftaran Pemilih Bermusim (SPPB) yang dilaksanakan di antara 21 hingga 42 hari dalam satu-satu tahun. Sistem pendaftaran pemilih ini dilaksanakan sehingga 15 Julai 2002.

Kedua, ialah Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (SPPST) yang dilaksanakan mulai 16 Julai 2002 iaitu yang mengambil alih sistem lama di atas.

Di bawah SPPB, setiap permohonan untuk mendaftar sebagai pemilih baru ataupun membuat pertukaran alamat hendaklah dibuat dengan mengisi borang yang ditetapkan di dalam Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 1971.

Dalam hal ini, seseorang pemilih dikehendaki mencatatkan alamat seperti yang tertera di dalam kad pengenalan pada borang pendaftaran berkenaan. Bagaimanapun, jika pemilih telah bertukar alamat tempat tinggal dan belum lagi melaporkannya kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), mereka dikehendaki mencatatkan alamat baru di dalam borang permohonan tersebut.

Borang permohonan boleh dikemuka sendiri ataupun oleh wakil pemohon kepada SPR. Kelonggaran yang diberikan oleh SPR dalam hal ini telah disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan isu-isu seperti berikut:

1) Pemilih Didaftarkan di Alamat Tempat Permastautinannya Pada Masa Kelayakannya Sebagai Pemilih. Seperti mana yang semua sedia maklum, rakyat Malaysia kurang peka mengenai betapa pentingnya melaporkan sebarang pertukaran alamat tempat tinggal kepada JPN.

2) Pendaftaran. Sebahagian besar daripada warganegara yang telah berpindah tempat tinggal masih tidak melaporkannya kepada JPN. Menyedari hakikat ini, SPR dengan ikhlas hati mempercayai alamat baru yang diberikan oleh seseorang pemilih itu sebagai alamat tetap mastautinnya yang tulen walaupun alamat tersebut mungkin tidak sama dengan alamat seperti yang tertera di dalam kad pengenalan.

Justeru, keadaan ini menyebabkan berlakunya pendaftaran mereka yang tidak kekal menetap di dalam sesuatu kawasan pendaftaran tanpa pengetahuan SPR. Hanya pemilih itu sendiri sahaja yang tahu kenapa mereka berbuat demikian.

Selain daripada itu, memang pada asalnya seseorang pemilih itu tinggal di dalam kawasan pendaftaran berkenaan. Bagaimanapun, beliau telah berpindah tempat bekerja dan menetap di suatu tempat yang baru, tetapi tidak mahu menukar alamat pendaftarannya ke tempat pemastautin baru kerana sesuatu sebab tertentu ataupun nostalgianya dengan tempat pendaftaran lama.

Apabila sesuatu pilihan raya umum atau kecil diadakan di kawasan pendaftaran lamanya, maka beliau akan balik mengundi.

Dalam hal ini, dia bukanlah merupakan ‘pengundi hantu’ seperti yang ditakrifkan oleh sesetengah pihak tetapi seorang pengundi yang sah dari segi undang- undang tetapi hanya tidak bermastautin di tempat ia mengundi kerana belum membuat pertukaran alamat.

3) Pemindahan Pemilih Daripada Satu Kawasan Pendaftaran ke Satu Kawasan Pendaftaran Lain Tanpa Pengetahuan Pemilih.

Di bawah SPPB, SPR ada melantik pegawai dan kakitangan kerajaan, kakitangan syarikat swasta, anggota-anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pekerja-pekerja parti politik sebagai penolong pegawai pendaftaran (PPP) untuk menjalankan urusan pendaftaran pemilih baru dan permohonan pertukaran alamat dalam tempoh pendaftaran yang dijalankan iaitu di antara 21 - 42 hari dalam setahun.

Dalam konteks ini, SPR mempercayai sepenuhnya butiran-butiran peribadi seseorang bakal pemilih baru atau pemilih yang sedia ada yang membuat permohonan berdaftar untuk bertukar alamat yang dibekalkan oleh PPP dari seluruh negara kepada SPR.

Namun begitu, ada sebahagian PPP yang kurang jujur dan telah menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan oleh SPR itu. Akibatnya berlaku keadaan di mana pemilih-pemilih berdaftar telah dipindahkan (dengan menurunkan tandatangan palsu dalam borang pendaftaran) daripada satu kawasan pendaftaran ke suatu kawasan pendaftaran yang lain tanpa pengetahuan pemilih itu sendiri yang dilakukan oleh PPP berkenaan bagi mencapai sesuatu tujuan pihak yang berjaya mempengaruhi mereka.

Keadaan ini hanya disedari oleh pemilih-pemilih yang terlibat dalam pilihan raya umum, apabila mereka pergi ke pusat-pusat mengundi yang pernah mereka mengundi di dalam pilihan raya umum sebelumnya atau pilihan raya-pilihan raya yang terdahulu dan akan terkejut apabila mendapati nama mereka sudah tidak tersenarai di dalam Daftar Pemilih dalam kawasan pendaftaran berkenaan.

Justeru, keadaan ini telah mendorong pemilih-pemilih terlibat membuat tohmahan liar dan tidak berasas menyatakan bahawa SPR telah memindahkan mereka sewenang-wenangnya dari kawasan pendaftaran yang sedia ada ke suatu kawasan pendaftaran baru.

Sedangkan undang-undang yang sedia ada jelas tidak memberi kuasa kepada SPR untuk berbuat sedemikian. Pemindahan mengikut undang-undang hanya dilakukan atas permohonan pemilih sendiri, yang mungkin dilakukan dengan cara penipuan seperti yang diterangkan di atas.

Dalam hal ini juga, SPR akan hanya mengeluarkan nama seseorang pemilih yang telah meninggal dunia daripada Daftar Pemilih jika SPR mendapat maklumat kematian pemilih daripada salah satu pihak berkuasa.

Antaranya, pengesahan daripada sistem ALIS di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengatakan bahawa seseorang pemilih berdaftar telah meninggal dunia. Satu lagi menerusi permit mengubur yang telah dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam konteks ini, tidak dapat dinafikan bahawa ada waris-waris tertentu yang tidak melaporkan kematian waris mereka yang telah berdaftar sebagai pemilih dengan SPR kepada JPN ataupun PDRM. Keadaan ini menyebabkan nama seseorang pemilih yang telah meninggal dunia itu masih tersenarai dalam Daftar Pemilih.

Tanpa memperoleh pengesahan daripada pihak berkuasa (JPN) bahawa seseorang pemilih itu telah pun meninggal dunia, SPR tidak berkuasa mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada pangkalan data Daftar Pemilih.


Keadaan ini menyebabkan istilah ‘pengundi hantu’ terus dimomokkan oleh pihak tertentu.

No comments:

Post a Comment