Mencari rezeki melalui perniagaan
perkara biasa dalam kebanyakan tamadun, termasuk Mesopotamia dan Indus yang
wujud sekitar 3000 tahun sebelum Masihi.
Mengikut sejarah Islam, nabi dan rasul
juga terbabit dalam dunia perniagaan. Rasulullah SAW memenuhi keperluan
seharian Baginda dan keluarga dengan melakukan beberapa pekerjaan termasuk
mengembala biri-biri serta berdagang.
Menyedari betapa penting bidang
perniagaan, Nabi Muhammad banyak memberi panduan atau hukum mengenai urusan
perniagaan.
Terdapat kira-kira 500 hadis yang
memperkatakan mengenai perniagan yang sebahagian besarnya menjelaskan bagaimana
perniagaan perlu dilakukan mengikut kehendak syariat.
Nabi Nuh pula diperintahkan oleh Allah
SWT membuat sebuah bahtera sebagai isyarat kepadanya untuk menceburi bidang
pertukangan dalam usaha mendapatkan mata pencarian.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami dan dengan
panduan wahyu Kami (mengenai cara membuatnya) dan janganlah engkau merayu
kepada-Ku untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan
ditenggelamkan (dengan taufan)." (Surah Hud, ayat 37)
Ia secara tidak langsung menunjukkan para
nabi juga mencari rezeki dengan melakukan perkara bermanfaat bagi menyediakan
tempat tinggal, kelengkapan, makanan dan minuman untuk memudahkan kehidupan.
Ruang lingkup keusahawanan mestilah
terikat dengan etika agama supaya setiap Muslim itu sentiasa meletakkan seluruh
kehidupannya sebagai ibadah dengan niat ikhlas kerana Allah SWT.
Penting setiap usahawan memahami konteks
keusahawanan yang Islamik kerana dengan cara itu mencetuskan sifat amanah untuk
menjaga hubungan baik sesama manusia.
Pada masa sama, akan lahir pula sifat
terpuji seperti menepati janji, menjaga masa dan akhlak mulia, sekali gus
menghindarkan diri daripada sifat tercela, termasuk menipu, dengki dan khianat.
Realiti dunia yang sentiasa berubah
menuntut setiap Muslim berusaha menyesuaikan diri menghadapi kehidupan
bertepatan syariat Allah SWT.
Ini termasuk membuat persediaan
menghadapi kemungkinan isu ekonomi, pengangguran, kos sara hidup tinggi dan
persaingan dalam perniagaan.
Sebenarnya galakan menyertai bidang
perniagaan bukan sahaja bermatlamat mencari keuntungan. Sebaliknya perniagaan
adalah aktiviti penting yang perlu diutamakan dalam kehidupan seharian
manusia.
Peniaga membantu orang ramai
mendapat apa yang diperlukan untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik.
Ekonomi dan kesejahteraan rakyat
bergantung kepada urusan perniagaan.
Sebab itu kegiataan perniagaan dibenarkan ketika musim haji, sedangkan
kegiatan lain tidak dibenarkan.
Hal ini membuktikan betapa
pentingnya perniagaan dilakukan sebilang masa. Sekiranya aktiviti perniagaan
dihentikan, seluruh sistem kehidupan manusia dengan sendirinya terhenti.
No comments:
Post a Comment