Makanan satu nikmat dianugerahkan Allah. Ukuran
nikmat rezeki dari Allah itu bukan tentang mahal atau lazat makanan itu. Nikmat
itu bukan juga pada jenama yang hebat dan dimakan di tempat ternama.
Sebaliknya, ukuran nikmat makanan itu apabila
kita mampu menikmati rezeki makanan dengan rasa bersyukur. Tiada ertinya dapat
makan jenis makanan mahal, sedangan kita tidak bersyukur. Tentu ada yang masih
tidak sempurna pada nikmat itu sehingga menyebabkan tidak bersyukur.
Sebab itu,
hargailah nikmat makan. Jangan ego dan angkuh dapat makan makanan yang mahal
dan terkenal. Setiap makanan yang disuap ke dalam mulut membawa erti
nikmat dan lazat yang berbeza pada setiap orang.
Orang kaya yang
makanan yang bernilai berpuluh kali ganda lebih mahal berbanding hidangan orang
miskin, belum tentu berasa nikmat melebihi apa yang dirasai oleh orang miskin.
Lihatlah, betapa
berselera dan nikmatnya orang miskin menjamu selera biarpun dengan hidangan
paling ringkas dan bernilai murah dan makan bersila di ruang dapur yang usang.
Mereka makan dengan nikmatnya dan tidak ada sisa ditinggalkan. Semuanya
dianggap rezeki yang perlu disyukuri biarpun sekadar pucuk ulam yang dipetik di
dalam semak berhampiran rumah.
Dan, perhatikan
pula golongan kaya yang makan di meja penuh hidangan pelbagai jenis dan
berharga mahal. Mereka hanya makan sedikit. Kononnya tiada selera kerana
terlalu memikirkan soal tugas harian. Atau tidak sempat hendak makan kerana
perlu berkejar ke sana ke mari untuk mencari rezeki.
Makanan yang
tidak habis dimakan dibuang begitu sahaja. Itu semua perbuatan membazir. Namun,
bagi orang kaya itu tidak membazir. Apalah sangat belanja yang perlu
dikeluarkan untuk menyediakan makanan itu. Apapun erti membazir bagi orang
kaya, perbuatan membuang makanan adalah satu pembaziran. Sesungguhnya membazir
itu amalan syaitan.
Maka itu,
amalkan sikap bersyukur. Makanlah apa sahaja yang dimakan dengan rasa bersyukur
kerana dengan itu kita akan merasai nikmat setiap makanan yang dimakan.
Bersyukur kita masih ada makanan untuk dimakan, berbanding orang lain yang
terpaksa menahan lapar dan dahaga biarpun bukan pada bulan Ramadan.
No comments:
Post a Comment