Monday, 20 January 2020

Cina minat tulisan jawi


Seorang peniaga batu nisan di Kuala Selangor, Kuah Leong Soon, 67, mempertahankan tulisan jawi yang dipelajarinya 40 tahun lalu. 

Lelaki warga emas itu berkata, tulisan jawi sudah sebati dalam dirinya sekali gus menjadi penyambung warisan aktiviti menghasilkan batu nisan untuk pelanggan beragama Islam.

Katanya, dia belajar tulisan jawi, tidak bermaksud memeluk Islam, tetapi mahu mengembangkan perniagaan batu nisan peninggalan keluarga yang berusia hampir 60 tahun.

Tambahnya, dia sentiasa menulis dan belajar memahirkan diri dalam seni ini walaupun bukan beragama Islam.

Menurutnya, dia hairan segelintir orang Melayu tidak mahir menulis jawi dan bimbang tulisan itu hilang buat selamanya.

Dalam pada itu, Kuah berkata, tulisan jawi yang dipelajarinya itu sesuatu yang istimewa dan menjadi punca pendapatannya selama ini.

"Saya belajar tulisan ini dari pelanggan yang datang ke bengkel (membuat batu nisan) di Pekan Lama Kuala Selangor.

"Pada awalnya, saya sendiri tidak mengenali huruf jawi. Saya belajar daripada mengenal huruf dan menyambungkan huruf menjadi perkataan.

"Hari ini, tulisan jawi sudah berubah, tetapi saya tetap belajar dan bertanya pelanggan bagaimana mengeja Jawi dengan tepat," katanya.

"Saya harap tulisan ini terus diperluas kerana ia sesuatu yang unik, namun dalam masa sama sedih kerana anak-anak tidak berminat dalam perniagaan ini yang tidak menjanjikan pulangan lumayan," katanya.

Sumber: HMetro

No comments:

Post a Comment