Mendapat
keputusan cemerlang dalam peperiksaan amat penting, tetapi bukanlah
segala-galanya. Malangnya, sebahagian kita menganggap sebaliknya.
Ada banyak remaja mengalami tekanan psikologi disebabkan keputusan peperiksaan
kurang baik. Tekanan psikologi yang berat, sebenarnya, sudah cukup sebagai
iktibar baginya. Janganlah menambahkan tekanan dengan memarahinya, mengatakan
kita malu dengan keputusannya, membandingkannya dengan orang lain atau
menyalahkan perkara yang tidak terbukti salahnya seperti pembabitan dalam
kokurikulum.
Apa
yang diperlukan ialah kita membimbingnya mengenal pasti kesilapan dan merancang
penambahbaikan. Bimbingan mesti dilakukan dengan betul, iaitu umpama pendakwah
yang baik.
Janganlah
menghukum. Sepatutnya, kita ‘berbincanglah dengan mereka cara lebih baik. Tetapi,
masalahnya, ada yang menganggapnya sebagai mereka melawan kita.
Sebenarnya,
keputusan peperiksaan kurang baik disebabkan oleh banyak faktor. Kita perlu
menilainya dengan tenang, teliti dan rasional. Memanglah dalam Islam, dari satu
segi, ia mungkin satu ujian. Tetapi, ujian ada banyak sebab. Ada ujian
diturunkan sebagai balasan kesilapan masa lalu.
Ada
yang sebagai ingatan untuk masa depan, dan ada yang berupa ujian oleh Allah
kepada hamba yang dikasihi-Nya. Meskipun ia berlaku kepada anak dan pelajar, ia
mungkin juga ujian yang ditujukan kepada kita, iaitu berikutan kesilapan masa
lalu, mungkin terhadap ibu bapa dan guru kita.
Jangan
sesekali terkesan di hati remaja bahawa mereka disayangi apabila keputusannya
baik, sedangkan kasih sayang seharusnya tanpa sebarang syarat.
Orientasi
peperiksaan sudah sampai ke tahap maksimum. Ini adalah disebabkan dasar dan
sistem yang membudayakan sehingga kita lupa falsafah pendidikan Islam dan
negara untuk melahirkan insan sempurna serta rakyat yang memiliki peribadi
bersepadu.
Oleh
itu, timbul beberapa soalan. Adakah pembangunan modal insan yang dilaungkan
kini benar-benar bersepadu dan berimbang, iaitu dari segi ilmu dan kemahiran,
akademik dan kokurikulum, sains dan bukan sains, serta agama dan sahsiah?
Adakah
kita benar-benar mementingkan anak dan pelajar? Atau sebenarnya kita lebih
mementingkan diri sendiri, iaitu apabila keputusan peperiksaan baik, kalau ibu
bapa, ia mahu berbangga atas hasil anaknya, manakala kalau guru dan pengetua,
mereka mahu naik pangkat atas hasil pelajar dan sekolahnya?
Dalam
konteks ini, ada dua buku yang relevan, yang mempunyai tajuk sama, iaitu
MisEducation, tetapi ditulis oleh dua orang intelektual terkenal berlainan,
David Elkind (1987) dan Noam Chomsky (2000).
Elkind
menyatakan langkah melahirkan ‘superkid’ dengan pelajaran sejak kanak-kanak
lagi mengundang risiko remaja akan berkekalan rosak harga diri, hilang sikap
positif dan terbantut bakatnya. Tetapi Chomsky mengetengahkan kefahaman yang
lebih luas mengenai keperluan sebenar pendidikan hari ini. Orientasi
peperiksaan perlu segera dikurangkan sebelum lebih ramai remaja terkorban.
No comments:
Post a Comment