Allah
menyebut mengenai nafsu baik yang dipanggil nafsu mutmainnah. Nafsu mutmainnah
memberi kebaikan kepada sesiapa memilikinya. Allah menjanjikan kedudukan
tertinggi kepada hamba-Nya yang memiliki nafsu mutmainnah atau jiwa tenang.
Firman
Allah bermaksud: “Wahai nafsu mutmainnah, kamu kembali kepada Tuhanmu dalam
keadaan reda dan diredai Allah. Maka masuklah kamu ke dalam hamba-Ku yang
beramal salih, nescaya kamu akan ditempatkan di dalam syurga-Ku.” - (Surah
al-Fajr, ayat 27-30).
Kesan
buruk berpunca daripada nafsu ialah akibat ia sentiasa keluh resah. Kehendak
nafsu sentiasa dalam keadaan membara dan tidak terkawal. Kehendak ini mudah
menjurus kepada kesan buruk dan merugikan. Nafsu buruk dikuasai oleh hasutan
syaitan.
Sebenarnya
kekuatan dan kelemahan kedua-dua nafsu tersebut dikawal oleh akal dan naluri
manusia secara beriringan. Akal dan naluri kemanusiaan menentukan ke arah nafsu
manakah yang lebih menguasai diri.
Kebijaksanaan
akal dan kekuatan naluri kemanusiaan mengawal nafsu ke arah pemikiran
menyeluruh yang memberi nilai tambah kepada kebaikan kehidupan manusia. Manusia
berakal kuat menjadikan nafsu sebagai pemangkin melakukan kebaikan. Nafsu
dikawal akal sentiasa tidak puas melakukan kebaikan dan kebajikan.
Sebaliknya,
akal jumud dan naluri kebinatangan membawa manusia menempuh kehidupan dalam
kegelapan. Akal dikuasai nafsu
kebinatangan tidak mengenal mana yang baik dan mana yang buruk.
Hakikatnya,
nafsu baik dan buruk saling mempengaruhi akal dan naluri untuk memutuskan
apakah akan dilakukan. Akal yang dikuasai nafsu baik akan sentiasa terdorong
melakukan ketaatan kepada Allah dan menolak unsur keburukan.
Kekuatan
akal menolak keburukan berkait rapat dengan keimanan dan ketakwaan. Insan
beriman dikuasai oleh akal yang baik. Sesungguhnya akal yang sentiasa diasuh
dengan keimanan dan budi pekerti baik tidak akan mudah terpedaya hasutan
syaitan melakukan perbuatan buruk.
Malah,
perbuatan baik yang sebati dalam diri menguasai diri sehingga perbuatan itu
begitu mudah untuk dilakukan. Ia menjadi lambang akhlak orang mukmin. Menurut
Imam al-Ghazali: “Akhlak ialah sifat yang tertanam di dalam jiwa yang
menimbulkan segala perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan fikiran dan
pertimbangan.”
Sebaliknya
jika fikiran dan naluri dikuasai nilai kejahatan dan sifat kebinatangan, maka
tindakan yang dilakukan sudah pasti menyebabkan kesan buruk. Orang bertuhankan
kepada nafsu kebinatangan tidak menggunakan kewarasan akal.
Nafsu
buruk membawa manusia menempuh alam kebinasaan di dunia dan menuju ke neraka di
akhirat. Orang bernafsu buruk tidak pernah merasai nikmat kehidupan sebenar.
Semakin banyak yang diperolehi semakin dirasakan tidak mencukupi.
Nyata
sekali kekuatan hidup manusia bergantung kepada keberkesanan akal memimpin
memilih yang terbaik. Walaupun semua manusia dibekalkan dengan otak, tetapi
tidak semua menggunakan akal.
Hakikatnya,
di antara otak dengan akal adalah dua perkara berbeza. Otak merupakan
sebahagian daripada organ yang terdapat dalam badan manusia. Otak juga terdapat
pada haiwan. Otak berfungsi mengawal tugas dan sistem badan.
Manakala
akal pula satu kurniaan Allah paling berharga kepada manusia. Manusia diangkat
ke darjat tertinggi berbanding makhluk lain disebabkan dikurniakan akal dan
nafsu sekaligus.
Malaikat
hanya dibekalkan dengan akal. Sebab itu malaikat sentiasa patuh kepada Allah
dan tidak terdorong melakukan sesuatu bertentangan yang dikuasai nafsu.
Sedangkan
haiwan pula hanya mempunyai nafsu. Haiwan tidak dikehendaki melakukan ibadat
dan tidak diberikan balasan pahala dan dosa. Allah mencipta haiwan untuk
manfaat kepada manusia dan sebagai perbandingan antara keduanya.
Justeru,
manusia perlu menggunakan kelebihan akal yang dikurniakan Allah. Jangan
persia-siakan kelebihan akal. Sesiapa tidak menggunakan akal, lebih tepat
dipanggil orang tidak berakal. Orang tidak berakal menjalani kehidupan lebih
hina daripada haiwan.
Ramai
di kalangan kita hanya menggunakan otak, tetapi tidak menggunakan akal. Otak
sekadar satu organ mencutus daya ingatan untuk melakukan gerakan fizikal dan
naluri. Otak tanpa akal tidak membawa manusia lebih baik atau keterbukaan
menerima perkara baru.
Sebab
itu, haiwan yang hanya mempunyai otak tidak mengalami peningkatan hidup. Dari
dahulu sehingga sekarang, kehidupan haiwan tidak mengalami kemajuan. Haiwan
menggunakan otak sekadar melakukan perkara asas yang perlu untuk hidup seperti
makan, minum, tindakan spontan terhadap persekitaran dan nafsu.
Sebaliknya,
akal yang menentukan nilai hidup manusia. Sebab itu manusia perlu sentiasa
menggunakan akal dan meningkatkan kemampuannya. Jika berdepan dengan sesuatu
situasi, jangan sekadar menggunakan otak, tetapi gunakan akal.
Menggunakan
akal tidak menyebabkan ia haus atau kekurangan, sebaliknya ia menjadi lebih
berakal. Orang bijak pandai sentiasa berfikir untuk meningkatkan kemampuan
akalnya.
Banyak
ayat al-Quran dan hadis menyuruh manusia menggunakan akal atau berfikir. Firman
Allah bermaksud: “Maka apakah kamu tidak menggunakan akal.” - (Surah al-Anam,
ayat 32).
Firman-Nya
dalam surah Yasin ayat 68 bermaksud: “Maka apakah mereka tidak memikirkannya?” Dalam
surah adz-Dzariyat ayat 21 firman Allah bermaksud: “Apakah kamu tidak
perhatikan.”
Ayat-ayat
tersebut secara jelas menyuruh manusia menggunakan akal. Maknanya, sesiapa
tidak menggunakan akal sebenarnya menolak anugerah dan perintah Allah. Hal ini
perlu sentiasa diberikan ingatan memandangkan fitrah manusia mudah lupa dan
lalai. Malah, perkataan manusia dalam kalimah Arab ‘insaan’ membawa erti lalai
atau lupa.
Kehidupan
ini akan benar-benar bermakna sekiranya kita menggunakan akal pada tingkat
maksimun. Sesiapa menggunakan akal, bermakna mendampingi ajaran Rasulullah yang
sentiasa mementingkan konsep berfikir, mencari kebenaran dan meningkatkan
kebaikan.
Untuk
mencari kekuatan akal, kita perlu sentiasa melihat dalam diri sendiri. Sikap
muhasabah diri dapat mengingatkan kita arah tujuan sebenar hidup ini. Sesiapa
tidak menggunakan kebijaksanaan akal bermakna menolak kurniaan Allah.
Orang
tidak menggunakan akal mudah menjadi mangsa kepada orang cerdik. Orang tidak
menggunakan akal juga mudah dikuasai oleh nafsu buruk.
No comments:
Post a Comment