Apa
pun cara mencari rezeki, setiap orang perlu mengutamakan kejujuran semasa
bekerja. Kejujuran adalah lambang keimanan dan ketakwaan. Sebab itu orang jujur
sentiasa mendapat tempat terbaik di sisi Allah.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Peniaga yang jujur itu bersama para nabi, para siddiqin,
dan para syuhada nanti di syurga.”
(Hadis riwayat Bukhari).
Walaupun
hadis itu menyebut mengenai peniaga yang jujur, tetapi ia juga merujuk kepada
semua jenis tugas pekerjaan yang dilakukan. Semua jenis pekerjaan terdedah
kepada ketidakjujuran, tetapi perbezaan mungkin hanya dari segi tahap dan
kemungkinan berlaku ketidakjujuran itu.
Sebagai
pekerja yang mendapat gaji atau upah, tertakluk kepada peraturan tugas bagi
memastikan mutu kerja yang memuaskan seperti mana diamanahkan. Pekerja yang
melanggar amanah berkaitan pekerjaannya bererti telah melakukan perbuatan tidak
jujur, kecurangan, tidak amanah, melanggar etika kerja dan tidak produktif.
Kecemerlangan
pekerja awam adalah lambang kepada kejayaan kerajaan menyediakan perkhidmatan
terbaik bagi rakyat. Manakala kecemerlangan pekerja sektor swasta pula membawa
keuntungan untuk majikan, sekaligus operasi syarikat diteruskan dan pekerja
dapat terus bekerja di situ.
Pekerja
yang jujur faham apa yang diharapkan oleh majikan terhadapnya. Salah satu aspek
utama ialah mencapai tahap cemerlang dalam setiap tugas yang dilakukan. Sebab
itu pekerja jujur sentiasa mempunyai azam, iltizam, meningkatkan penguasaan
ilmu dan kemahiran bagi mencapai tahap kecemerlangan yang diharapkan majikan.
Melaksanakan
amanah dalam pekerjaan bukan sekadar mengambil hati majikan, tetapi ia perintah
agama yang dipersoalkan di akhirat nanti. Islam tidak bertolak ansur dalam soal
kecemerlangan dan kesempurnaan melaksanakan tugas.
Sifat
tidak mementingkan kejujuran dalam pekerjaan adalah punca berlakunya pelbagai
kepincangan dalam perkhidmatan dan penghasilan. Pelanggan terpaksa berdepan
dengan kerenah pekerja yang tidak komited melakukan tugas dan lebih teruk lagi
apabila ada pekerja meminta rasuah bagi melaksanakan sesuatu tugas.
Mutu
kerja yang rendah mendatangkan banyak kerugian kepada negara. Gaji yang dibayar
lebih tinggi berbanding apa yang dilakukan atau dihasilkan. Matlamat kerajaan
menyediakan perkhidmatan terbaik gagal dicapai disebabkan adanya pekerja yang
tidak jujur melakukan tugas seharian.
Pekerja
yang melakukan tugasnya dengan tekun bukan saja disukai pegawai atasan atau
majikan, tetapi lebih-lebih lagi Allah.
Mengutamakan
perlaksanaan tugas oleh setiap pekerja adalah satu yang wajib. Ia hendaklah
dilaksanakan tanpa bertangguh-tangguh atau lepas tangan.
Firman Allah
bermaksud: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertaburlah kamu di muka
bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah dari apa yang kamu
hajati daripada limpah kurnia Allah dan ingatlah akan Allah banyak-banyak
(dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya di dunia dan akhirat.” (Surah
al-Jumaah, ayat 10).
Walaupun amanah dalam
pekerjaan perlu diutamakan, tetapi amanah dalam soal pengibadatan khusus perlu
lebih diutamakan. Islam menegah seseorang menumpukan perhatian kepada hal
kehidupan di dunia sehingga lupa melaksanakan tanggungjawab ibadat khusus.
Firman Allah
bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan
sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kepada mengingati Allah, dan
tinggalkan jual beli.” (Surah al-Jumaah, ayat 9).
Bekerja dengan jujur
adalah menunaikan janji berdasarkan perjanjian menyerah tugas oleh majikan dan
penerimaan tugas oleh pekerja.
Pihak yang melantik
pekerja telah memilih calon terbaik untuk melaksanakan sesuatu tugas. Calon
terpilih itu mungkin daripada beribu-ribu calon lain yang turut memohon. Dengan
kata lain, pemilihan calon itu ialah dengan satu harapan dia dapat menjadi
pekerja terbaik.
Firman Allah
bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyerahkan amanah kepada yang
berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara
manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi
pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.” - (Surah an-Nisa, ayat 58).
Ramai yang memohon
kerja sebenarnya bukan hendak bekerja, tetapi mengharapkan gaji. Inilah punca
ramai pekerja apabila bekerja tidak melakukan tugas dengan sempurna. Sesiapa
menerima amanah, sedangkan tidak mempunyai kesediaan untuk melakukan yang
terbaik, maka padanya ada tanda-tanda sifat munafik.
Sebagai Muslim adalah
tidak wajar meletakkan matlamat setiap pekerjaan yang dilakukan semata-mata
untuk keuntungan kebendaan. Sesiapa bekerja semata-mata kerana wang dan sanggup
melakukan perbuatan yang salah sama-mata kerana wang, kehidupannya menempuh
kecelakaan.
Sabda Rasulullah
bermaksud: “Celakalah orang yang menyembah dinar, celakalah orang yang
menyembah dirham.” (Hadis riwayat
Bukhari dan Ibnu Majah).
Bagi
memastikan setiap rezeki diperolehi bersih dan diberkati, setiap usaha
berkaitan mencari rezeki hendaklah dilakukan dengan jujur semata-mata mencari
keredaan Allah. Sesungguhnya kejujuran adalah pendorong melakukan pekerjaan
dengan hati yang terbuka, bersungguh-sungguh dan tidak menganggap tugas
dilakukan sebagai membebankan.
Pekerja
yang jujur sentiasa bersikap dan berusaha secara profesional. Segala urusan
tugas dilakukan dengan penuh dedikasi dan menjauhkan sifat-sifat tercela
seperti pecah amanah dan curi tulang.
No comments:
Post a Comment