Di
dalam perbahasan ilmu usul fiqh, terdapat suatu bab yang disebut
sebagai al-Nasikh dan al-Mansukh. Ia merupakan suatu cara untuk
menyelesaikan percanggahan di antara dalil-dalil. Ini kerana, sekalipun
mustahil untuk dalil-dalil bercanggah di antara satu sama lain dari sudut
realitinya, akan tetapi ia tidak mustahil berlaku pada sudut pandangan para
mujtahid.
Definisi al-nasakh dari sudut bahasa ialah; mengangkat dan juga menghilangkan. Nasakh juga membawa maksud; memindahkan.
Manakala nasakh dari sudut istilah bermaksud; mengangkat hukum syarak dengan dalil syarak yang datang terkemudian darinya. Dalil itu dinamakan sebagai al-Naasikh manakala hukum yang terangkat itu disebut sebagai al-Mansukh.
Jenis-jenis nasakh terbahagi kepada beberapa jenis:
Pertama: Nasakh boleh jadi secara sarih ataupun jelas. Iaitu nas jelas menunjukkan bahawa ayat tersebut telah berlaku nasakh padanya. Sebagai contohnya adalah sabda Nabi SAW bermaksud: “Aku dahulu melarang kalian dari menziarahi kubur maka sekarang ziarahilah kubur.” (Hadis riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis di atas, nasakh berlaku secara jelas di dalam nas yang sama. Al-Nasikh adalah perintah menziarahi kubur. Manakala al-Mansukh adalah larangan menziarahi kubur.
Kedua: Nasakh dhimni (di sebalik/terkandung). Yang dimaksudkan dengan nasakh dhimni ini adalah, Allah tidak menyebutkan secara sarih (jelas) akan berlakunya nasakh. Akan tetapi terdapat hukum lain yang disyariatkan yang mana ianya bercanggah dengan hukum sebelumnya tanpa adanya nas yang sarih menunjukkan akan mansukhnya hukum yang pertama dan tidak boleh untuk dihimpunkan di antara keduanya.
Maka pensyariatan hukum yang terkemudian itu menjadi nasikh dhimni (terkandung) bagi hukum yang terdahulu. Contoh bagi nasakh dhimni ini adalah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 240)
Berdasarkan ayat ini, dapatlah difahami bahawa iddah bagi wanita yang kematian suaminya adalah selama setahun penuh. Inilah hukumnya pada awal-awal Islam dahulu.
Kemudian turunnya firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.” (Surah al-Baqarah, ayat 234)
Manakala ayat ini pula menunjukkan bahawa isteri-isteri yang kematian suami hendaklah mereka itu beriddah selama empat bulan sepuluh hari. Justeru, ayat ini menjadi nasikh dhimni ke atas hukum ayat yang pertama kerana ayat ini turun terkemudian daripada ayat tadi.
No comments:
Post a Comment