Thursday, 11 February 2021

PERLU MULA BEKERJA SEAWAL MUNGKIN

Tugas bekerja atau mencari rezeki menjadi tanggungjawab setiap orang yang berkemampuan melakukan tugas tersebut. Sekarang ini tanggungjawab bekerja bukan terletak di bahu lelaki sahaja. Wanita turut memberi sumbangan penting dalam menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga.

Bilakah usia paling sesuai untuk mula bekerja? Dalam undang-undang Malaysia, individu berusia 18 tahun dan ke atas adalah layak diterima bekerja dan menerima manfaat berkaitan pekerjaan yang dilakukan.

Bagaimanapun tidak ada undang-undang yang menyekat individu berusia kurang 18 tahun daripada bekerja. Banyak remaja dari keluarga miskin yang bekerja dalam usia muda untuk membantu meringan beban keluarga. 

Sebenarnya, bekerja awal tidak terhad kepada remaja dari keluarga miskin sahaja. Sepatutnya, individu yang telah tamat belajar, peringkat sekolah maupun institusi pengajian tinggi, perlu segera bekerja. 

Anggaplah satu-satunya halangan menyebabkan tidak mula bekerja awal adalah kerana masih ingin meneruskan pelajaran. Jadi, jika sudah tamat belajar, teruslah mula bekerja. Tidak kiralah berapa umur ketika tamat pengajian itu, yang penting melakukan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan, kemahiran atau peluang pekerjaan yang ada. 

Masa muda adalah peluang terbaik untuk mula bekerja dan seterusnya mencapai kejayaan dalam bidang pekerjaan yang diceburi. Lebih awal mula bekerja, peluang untuk berjaya lebih luas.

Tanpa mempunyai pekerjaan yang memberi pendapatan, seseorang terpaksa bergantung harap kepada orang lain. Tidak melakukan sebarang pekerjaan satu kerugian besar kepada diri sendiri dan keluarga.

Sesiapa yang tidak menggunakan kekuatan fizikal dan fikiran bermakna telah mempersia-siakan kelebihan yang dimiliki. Ini bertentangan dengan konsep memaksimunkan penggunaan sumber tenaga yang amat dititikberatkan dalam Islam. Pembaziran sumber tenaga amat ditegah dalam Islam. 

Untuk menjayakan konsep penggunaan sumber tenaga manusia secara maksimun, kerajaan melancarkan program atau dasar menekankan kepada aspek modal insan. Dalam diri setiap orang mempunyai kekuatan dan kelebihan yang boleh dijadikan modal untuk menjayakan diri, keluarga dan negara. 

Bagi keluarga miskin memang amat mengharapkan bantuan daripada anak yang telah mampu berdikari. Anak yang sudah bekerja dapat menanggung sebahagian daripada keperluan sara hidup keluarga. Inilah masa untuk membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa selama ini.

Sumbangan anak dapat meningkatkan taraf hidup dan mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik. Tanggungjawab ini lebih berat terpaksa ditanggung oleh anak sulung, abang atau kakak yang mempunyai bilangan adik beradik yang banyak. 

Pengorbanan mereka dapat memberi sinar kehidupan baru kepada seluruh ahli keluarga. Pendapatan yang diperoleh hasil kerja, biarpun tidak seberapa, amat bererti bagi keluarga miskin. 

Allah menjanjikan ganjaran pahala yang tidak terkira besarnya kepada sesiapa yang membantu meringankan beban hidup ibu bapa dan ahli keluarga. Ganjaran besar ini sebagai galakan agar setiap orang berusaha melakukan pekerjaan yang mendatangkan rezeki untuk menyara hidup.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan purnama.” (Hadis riwayat Thabrani).

No comments:

Post a Comment