Maka, semua haiwan lain halal dimakan kecuali disebabkan kategori bangkai, darah mengalir, disembelih bukan kerana Allah, mati dicekik atau tercekik, mati dipukul, mati jatuh dari tempat tinggi, mati ditanduk ketika berlaga dan mati dimakan binatang buas.
Hukum boleh makan katak tersebut disebut dengan jelas dalam dua ayat ini. Dalam ayat pertama Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 173)
Dalam ayat kedua pula Allah SWT berfirman: "Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik." (Surah al-Maidah, ayat 3)
Dalam dua ayat al-Quran di atas tidak disebut katak haram dimakan. Jika meneliti nas dan dalil daripada hadis pula tentang hukum makan katak didapati bahawa Rasulullah SAW tidak pernah memperuntukkan atau menjelaskan hukum yang jelas tentang makan katak. Sebaliknya yang ada ialah hadis memperuntukkan hukum larangan membunuh katak.
Dalam satu hadis disebutkan daripada Abu Hurairah katanya bahawa Rasulullah telah menegah daripada membunuh surah (sejenis burung), katak, semut dan pelatuk. (Riwayat Ibn Majah)
Ada sesetengah ulama mengkategorikan katak seperti ikan dan haiwan-haiwan yang tinggal dalam air. Mengenai kategori ini ada nas yang umum daripada ayat al-Quran dan hadis dihurai dan ditafsirkan (bukan secara terang-terang dan muktamad) bahawa semua haiwan yang tinggal dalam air adalah harus dimakan.
Nas yang umum daripada al-Quran itu bermaksud: "Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertakwalah kepada Allah, yang kepada-Nya kamu akan dihimpunkan. (Surah Al-Maidah, ayat 96)
Nas yang umum daripada
hadis pula seperti hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Malik, Darimi dan lain-lain
yang bermaksud: "Ia (laut) bersih airnya dan halal bangkainya.
Berdasarkan nas daripada al-Quran dan hadis yang umum ini serta hukum yang diambil daripada kaedah syariah asal setiap sesuatu itu harus, maka dapat dikatakan semua haiwan yang tinggal dalam air harus dimakan termasuk katak.
Bagaimanapun, hukum halal ijtihad seperti ini adalah terserah kepada adat dan pertimbangan kita masing-masing. Jika ada orang tergamak, bukan saja katak tetapi buaya pun boleh dia makan.
Sementara itu ada sesetengah ulama mengkategorikan katak dari golongan haiwan dua alam yang dipanggil dalam bahasa Arab, barmai (darat air).
Haiwan jenis dua alam ini dianggap haram dimakan oleh sesetengah ulama dan
hukum ijtihad ini jika dilaksanakan sepenuhnya, maka beberapa jenis ketam,
siput dan kerang tidak boleh dimakan.
Pun, didapati hukum haram dimakan haiwan dua alam tidak ada dalam al-Quran dan hadis, tetapi ia merupakan hukum ijtihad sesetengah ulama berdasarkan adat tempat dan persekitaran yang mereka tinggal.
Secara umumnya majoriti (jumhur) ulama menganggap semua haiwan laut (air), sama ada ikan dan binatang-binatang lain harus dimakan. Hukum majoriti ulama ini berdasarkan ayat 96 daripada surah al-Maidah dan hadis yang menyebut bahawa bangkai laut adalah halal seperti tersebut di atas.
Bagaimanapun, sesetengah
mazhab seperti Syafie dan Hambali berbeza dengan majoriti ulama kerana mereka
menganggap katak haram dimakan disebabkan ada hadis-hadis yang melarang
membunuhnya.
Agak perlu disebut juga nukilan Imam al-Bukhari berhubung hukum makan katak ini. Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya ketika menghurai ayat 96 daripada surah al-Maidah itu menyebut bahawa asy-Syabi (Aamir bin Syarahil) berkata: Jika ahli keluargaku makan katak, nescaya aku memberi mereka makannya.
Pada waktu yang sama al-Bukhari juga menyebut bahawa al-Hassan (al-Hassan bin
Abi al-Hassan Yassar al-Basri) menganggap tidak mengapa jika ada orang mahu
makan kura-kura.
No comments:
Post a Comment