Secara konsepnya, Islam telah menetapkan garis panduan dalam
pengurusan ekonomi. Negara, syarikat, keluarga dan individu dilindungi daripada
sebarang penindasan dan ketidakadilan ekonomi yang dilakukan oleh pihak
lain. Semua bentuk penindasan ditegah dalam Islam.
Islam mementingkan hubungan baik sesama manusia bertujuan
mewujudkan suasana hidup yang selesa, selamat dan sejahtera. Kesempurnaan iman
seseorang tidak sekadar melakukan ibadat yang menghubungkan diri dengan Allah.
Sebaliknya, Islam turut mementingkan soal hubungan manusia
dengan manusia untuk melengkapkan tanggungjawab sebagai khalifah.
Urusan ekonomi adalah salah satu urusan sesama manusia yang
paling penting. Ekonomi merangkumi semua aktiviti yang bermaksud mencari
keuntungan.
Setiap individu moden tidak terlepas daripada aktiviti
ekonomi. Pengguna juga seseorang termasuk dalam kategori menjalankan aktiviti
ekonomi.
Konflik ekonomi tercetus apabila masyarakat Barat
mentakrifnya sebagai sains sosial yang mengkaji usaha-usaha manusia menggunakan
sumber-sumber ekonomi yang terhad untuk memenuhi kehendak-kehendak manusia yang
tidak terbatas. Kehendak yang tidak terbatas melibatkan sifat tamak, tidak
bersyukur dan cintakan dunia.
Sesungguhnya, Allah mencipta dunia ini untuk manusia
mendapat apa yang dihajati. Namun, perkara itu perlu dipenuhi mengikut batasan
yang dibenarkan syariat.
Sesiapa menjadikan kesenangan hidup di dunia sebagai
matlamat utama di dunia ini, akan menghadapi kesesatan untuk memahami tujuan
sebenar hidup. Mereka tertipu dengan keindahan dunia dan melupai janji Allah
untuk kehidupan akhirat.
Kesenangan hidup di dunia adalah ujian bagi menentukan
kekuatan iman seseorang. Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada sesiapa yang
berjaya menahan dirinya daripada melakukan perbuatan dusta berkaitan kekayaan.

No comments:
Post a Comment