Perjudian merupakan salah satu cara syaitan
merosakkan manusia. Mereka yang berjudi akan melakukan banyak keburukan bukan
sahaja terhadap diri sendiri, tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan
negara.
Justeru, tidak pelik jika pemain judi
sanggup hidup dalam serba kekurangan. Wang yang ada dihabiskan untuk berjudi.
Mereka sanggup menggadaikan apa sahaja, termasuk maruah anak dan isteri demi
untuk mendapatkan duit modal berjudi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Syaitan
itu menjanjikan dengan kemiskinan dan kepapaan dan dia menyuruh kamu
menjalankan perbuatan keji.” (Surah al-Baqarah, ayat 268).
Aktiviti perjudian bukan sahaja merugikan
dalam bentuk kewangan, tetapi juga melahirkan masyarakat yang malas dan kuat
berangan-angan. Produktiviti menurun disebabkan masa lebih banyak dihabiskan di
meja judi.
Sebab itu pakar psikologi dan pemimpin
masyarakat bukan Islam turut mengatakan perjudian mendatangkan keburukan kepada
pengamalnya. Justeru, seluruh ahli masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa
perlu menjauhi judi dalam bentuk apa sekalipun.
Kaki judi mengalami kehidupan yang tidak
tenteram, terutama apabila mengalami kekalahan teruk. Akibat keadaan itu, banyak
berlaku pergaduhan di kalangan kaji judi hingga berlaku pembunuhan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat
91 bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan
permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu
memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang. Oleh itu
mahukah kamu berhenti (daripada melakukannya).”
Orang yang memakan hasil haram akan
menyebabkan hatinya sentiasa kegelapan. Hidayah daripada Allah SWT tidak dapat
memasuki hati yang digelapkan oleh zat makanan haram. Ibadat dan doanya juga
tidak diterima Allah SWT. Kehidupan menjadi semakin jauh daripada rahmat Allah
SWT dan semakin sesat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Tidak baik (subur) daging yang tumbuh dari usaha haram, melainkan neraka
lebih patut baginya" (Hadis riwayat Tirmizi)
No comments:
Post a Comment