Saturday, 29 February 2020

SEJARAH KEGUNAAN SERUNAI DI MALAYSIA

Serunai ialah sejenis alat muzik yang ditiup. Badan serunai diperbuat daripada kayu dan sebagainya. Pada bahagian pangkal serunai terdapat pipit dua lapis yang berbentuk pipih sebagai tempat untuk meniup. 

Serunai terkenal di seluruh dunia dengan bentuk yang berbeza mengikut tempat, namun pada dasarnya hampir semua serunai berbentuk seperti kun.

Perkataan ‘serunai’ berasal dari perkataan ‘Nay’, dalam bahasa Parsi  bermaksud tiup. Alat tiup jenis serunai, dikatakan berasal dari Parsi.

Perkembangan awal di Asia Tenggara, adalah dipercayai bermula daripada pengaruh budaya Hindu, yakni sebelum kedatangan Islam di rantau ini. 

Pada ketika itu pendita-pendita mereka dikatakan telah membawa bersama-sama peralatan muzik untuk menjalankan kegiatan dakwah agama mereka iaitu agama Hindu.

Di Malaysia terdapat pelbagai jenis serunai yang digunakan dalam gabungan beberapa alat muzik lain untuk mengiringgi persembahan wayang kulit, menora, silat dan tarian. 

Serunai yang terdapat di Malaysia adalah dicipta oleh tokoh-tokoh tempatan yang benar-benar mahir dalam bidang berkenaan.

Mereka menggunakan cara tradisional untuk mencipta alat tersebut melalui keupayaan berfikir serta kepandaian yang sedia ada dalam diri mereka. 

Sungguh pun terdapat perbezaan-perbezaan kecil dari segi ukuran dan bentuk serta hiasannya di antara satu sama lain, namun ianya dicipta berlandaskan kepada prinsip-prinsip akustik yang sama, seperti kegunaan bahan asas dan juga ditebuk secara selari dengan bentuk luaran.

Bersesuaian dengan nada muziknya, serunai kebanyakan mempunyai tujuh lubang petik sebagai lubang penjarian dan satu lubang petik sebagai lubang ibu jari, sering juga diungkapkan sebagai ‘lubang jerit’ oleh sebab suaranya yang meninggi itu dan ada kalanya diungkapkan sebagai ‘lubang penggalak’ iaitu menghasilkan nada-nada hias yang bersifat riang ataupun galak.

Bagi kebanyakan serunai yang terdapat di Malaysia, di mana pipitnya diperbuat daripada daun lontar atau daun tal yang sederhana tua. Ini bagi menentukan keutuhannya serta untuk mendapatkan mutu bunyi seperti dikehendaki.

Adapun jenis-jenis serunai yang terdapat di Malaysia, dicipta tidak mengikut satu piawaian yang tetap. 

Dengan demikian ‘timbre’ atau air suaranya berbeza-beza walaupun berkembang dalam disiplin yang sama.

No comments:

Post a Comment