Monday, 16 July 2018

POKOK BUAH GUCIL

Pokok gucil atau dieja guchil untuk ejaan lama. Pokok gucil juga dipanggil pokok gunchiak. Sumber lain pula menamakannya sebagai buah binayuyu atau binayuyo. Ada juga memanggil pokok gucil dengan nama pokok goncar. Apapun nama, pokok gucil kini dikategori pokok nadir atau semakin jarang ditemui.

Pokok gucil biasanya tumbuh di kawasan berhampiran paya dan ada juga di kawasan berbukit. Pokok gucil berbatang keras berdaun kecil. Pokok gucil boleh membesar ketinggian melebihi 15 meter.  

Buah gucil kecil-kecil dan bergugus seperti lada hitam. Buah gucil berwarna hijau ketika muda dan menjadi ungu kehitaman setelah masak. Rasa buahnya ketika muda masam dan menjadi masam-masam manis ketika masak. Pokok gucil boleh dibiakkan dengan kaedah semaian biji benih dan keratan batang.

Nama pokok gucil banyak dijadikan nama kampung. Di Kelantan sekurang-kurangnya terdapat dua nama kampung atau tempat menggunakan nama gucil. Paling popular ialah Guchil di Kuala Krai. Di Kota Bharu terdapat nama Guchil di Jalan Bayam. Di Kuala Terengganu, Terengganu juga ada nama Kampung Guchil. Di Pasir Puter, Kelantan dan Jerteh, Terengganu terdapat nama Gong Guchil.

No comments:

Post a Comment