Thursday 12 July 2018

HUBUNGAN SAKIT BUAH PINGGANG KENCING MANIS

Penyakit buah pinggang atau kegagalan buah pinggang berfungsi antara lain disebabkan penyakit kencing manis. Penyakit buah pinggang kini semakin menular di kalangan masyarakat di negara ini. Penyakit buah pinggang berlaku disebabkan cara hidup tidak sihat dan pengambilan makanan tidak seimbang. Kini lebih 500 juta penduduk dunia menderita penyakit buah pinggang setiap tahun. Ramai meninggal dunia disebabkan penyakit buah pinggang.  

Di Amerika Syarikat, penyakit diabetes atau kencing manis penyebab utama penyakit buah pinggang kronik dan kegagalan buah pinggang. Di Malaysia  terdapat kira-kira 400,000 (perangkaan tahun 2017) pesakit buah pinggang tahap 1 hingga 5. Seramai 40,000 daripada jumlah itu pula merupakan pesakit penyakit buah pinggang tahap 5 dan memerlukan rawatan dialisis.

Antara punca penyakit buah pinggang akibat penyakit kencing manis yang tidak dikawal. Penyakit kuncing manis berlaku apabila pengambilan gula tanpa kawalan dan kurang minum air kosong. Tabiat ini mengakibatkan kerosakan tisu dan organ badan seperti salur darah dan mata termasuk buah pinggang.

Penjagaan yang sempurna dapat mengelakkan berlaku penyakit ini. Justeru, pesakit diabetes digalakkan supaya membuat pemeriksaan darah untuk mengesan kandungan gula dalam darah sekurang-kurangnya dua kali setahun. Ujian ini mengambil kira purata paras gula dalam darah untuk tempoh tiga bulan.

Pesakit juga perlu mengambil tahu mengenai suntikan insulin, ubat-ubatan, perancangan menu, aktiviti fizikal dan pemantauan paras gula daripada perunding kesihatan. Selain itu, mereka perlu membuat pemeriksaan tekanan darah beberapa kali dalam setahun.

Sekiranya dalam masa yang sama pesakit mengalami tekanan darah tinggi, mereka perlu mengikut arahan penasihat kesihatan untuk mengembalikan tekanan darah ke paras normal iaitu 130/80.

Selain itu pesakit dinasihatkan supaya melakukan ujian untuk mengetahui keadaan kesihatan buah pinggang. Pesakit turut disarankan melakukan ujian air kencing untuk mengenal pasti kehadiran protein dalam air kencing. Kedua-dua ujian ini dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun.

Dalam pada itu bertanyalah kepada perunding kesihatan sama ada pesakit mendapat manfaat daripada pengambilan ACE inhibitor (angiotensin-coneverting enzyme) atau ARB (angiotensin receptor blockers).

Pesakit juga perlu bertanya kepada perunding kesihatan terlebih dahulu sama ada perlu mengurangkan pengambilan protein dalam diet seharian. Sebaik-baik rujuk kepada pakar pemakanan untuk mendapat bantuan tentang perancangan menu harian.

No comments:

Post a Comment