Monday 9 July 2018

BAHAYA KAHWIN USIA MUDA

Menurut Konvensyen Me­­­ngenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC), kanak-kanak didefinisikan sebagai individu yang berusia di bawah 18 tahun kecuali di bawah undang-undang yang menyatakan usia yang lebih muda.

Selaras dengan itu, perkahwinan kanak-kanak didefinisikan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sebagai perkahwinan di bawah usia 18 tahun.

UNICEF melaporkan bahawa bilangan perkahwinan kanak-ka­nak paling tinggi berlaku di ka­wasan Asia Selatan iaitu sebanyak 285 juta (44%) diikuti oleh Afrika Sub-Sahara sebanyak 215 juta (18%) dan Timur Asia dan Pasifik sebanyak 75 juta (12%).

Dianggarkan terdapat seramai 12 juta kanak-kanak di bawah 18 tahun berkahwin setiap tahun. Namun begitu trend bagi perkahwinan kanak-kanak ini didapati menunjukkan penurunan sejak sedekad lalu sebanyak 15 peratus iaitu dari 1 dalam 4 (25%) kepada 1 dalam 5 (21%).

Namun begitu, pada kadar ini, dianggarkan lebih daripada 150 juta lagi kanak-kanak perempuan akan berkahwin sebelum berusia 18 tahun seluruh dunia.

Secara amnya, isu perkahwinan kanak-kanak ini lebih berlaku dalam kalangan kanak-kanak perempuan berbanding ka­nak-kanak lelaki.

Kajian mendapati faktor penyumbang kepada perkahwinan kanak-kanak ini berbeza antara negara. Kemiskinan keluarga antara faktor utama yang mendorong ibu bapa untuk mengahwinkan anak perempuan mereka agar dapat mengurangkan beban keluarga.

Di samping itu, ibu bapa menyangka bahawa perkahwinan itu dapat memberikan kehidupan baru yang lebih baik serta perlindungan kepada anak pe­rempuan mereka. Ada juga ibu bapa yang merasa bangga dapat mengahwinkan anak dengan lelaki yang mempunyai status sosial yang lebih tinggi.

Terdapat juga kepercayaan ibu bapa bahawa tindakan mereka itu dapat melindungi anak daripada menjadi mangsa rogol, aktiviti seks luar nikah dan mengandung luar nikah. Faktor lain adalah budaya yang mana amalan perkahwinan kanak-kanak adalah normal da­lam masyarakat berkenaan.

Perkahwinan kanak-kanak ada­­lah satu isu yang serius kerana terdapat pelbagai kesan negatif boleh berlaku dari segi fizikal, mental dan sosial. Apabila kanak-kanak ini berkahwin pada usia muda seterusnya, mengandung pada usia di bawah 18 tahun, risiko kematian adalah tinggi.

Kanak-kanak berusia antara 10 dan 14 tahun mempunyai risiko 5 hingga 7 kali ganda untuk me­ninggal semasa melahirkan anak manakala bagi kanak-kanak ber­usia antara 15 dan 19 tahun pula adalah sebanyak dua kali ganda. 

Tambahan pula, risiko bagi kematian anak mereka pula adalah 60% lebih tinggi daripada anak yang dilahirkan oleh ibu yang berusia melebihi 19 tahun.

Risiko untuk mendapat obstetric fistula juga adalah lebih tinggi. Obstetric fistula ialah terjadinya laluan kecil antara kemaluan dan rektum (bahagian hujung usus) atau pundi kencing akibat dari proses kelahiran yang tersekat bagi tempoh yang panjang.

Hal ini kerana organ reproduksi atau organ peranakan mereka belum cukup matang bagi proses kelahiran. Kajian-kajian turut mendapati risiko untuk kanak-kanak ini mendapat jangkitan HIV, jangkitan penyakit kelamin yang lain dan kanser serviks (kanser pangkal rahim) adalah lebih tinggi.

Selain itu, kanak-kanak ini akan terpisah daripada keluarga dan rakan serta tinggal dalam rumah dan suasana baharu. Mereka perlu menjalani tugas sebagai isteri, pekerja domestik dan bakal menjadi ibu muda. Mereka akan hilang zaman kanak-kanak, bermain, ber­­kawan dan belajar.

Kanak-ka­nak ini perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu serta meme­nuhi jangkaan dari keluarga baharu dan masyarakat sekeliling yang seterusnya mendedahkan mereka kepada masalah emosi seperti kemurungan.

Tambahan pula, kanak-kanak yang berkahwin awal ini juga be­risiko untuk menjadi mangsa keganasan, penderaan, malnutrisi dan kurang akses kepada penjagaan kesihatan.

Bagi membendung isu ini, beberapa tindakan boleh dilakukan seperti polisi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang bertujuan mendidik dan meningkatkan ke­sedaran keluarga dan komuniti.

Pada pandangan keluarga dan komuniti tertentu, perkahwinan kanak-kanak ini adalah amalan lazim yang berlaku sejak zaman berzaman dan boleh diteruskan. Mereka tidak menyedari mengenai implikasi negatif yang boleh timbul terhadap kanak-kanak perempuan tersebut dan anak-anak mereka.

Persepsi ini perlu diubah secara berhemah menggunakan kaedah yang bersesuaian dengan mengambil kira aspek sosio-budaya dan agama.

Kerjasama dan sokongan dari pemimpin setempat dan pe­mim­pin agama amatlah penting supaya kempen kesedaran tersebut dapat diterima oleh keluar­ga dan komuniti.

Kanak-kanak perem­puan juga perlu diperkasa melalui pendekatan dan program yang bersesuaian. Selain itu, penekanan perlu diberikan me­ngenai kepentingan pelajaran bagi ka­nak-kanak perempuan kerana pe­lajaran mampu untuk mening­katkan status sosial wanita seterusnya menyumbang kepada tahap kesihatan mereka.

Antara program yang dijalankan di luar negara yang menunjukkan kejayaan menurunkan kadar perkahwinan kanak-kanak adalah melibatkan pemberian insentif kewangan kepada keluarga supaya dapat mengekalkan anak mereka di sekolah, pemberian makanan di sekolah dan pemberian pekerjaan kepada wanita yang telah tamat persekolahan.

Pendidikan kesihatan repro­duktif di sekolah juga berkesan untuk memberi kesedaran, mengubah sikap dan amalan terhadap tingkah laku berisiko.

Kesimpulannya, perkahwinan kanak-kanak adalah satu amalan yang boleh memberikan kesan negatif kepada kanak-kanak dan perlu dibendung. Pelbagai pihak boleh mengambil tindakan sewajarnya untuk menyedarkan keluarga dan komuniti tersebut tentang implikasinya serta membantu mereka meninggalkan amalan ini.

Oleh: Dr Norliza Ahmad
Pakar Perubatan Kesihatan Awam,
Jabatan Kesihatan Komuniti,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Putra Malaysia (UPM).

No comments:

Post a Comment