Thursday 19 July 2018

KERAJAAN HANYA PERLU JAGA AGAMA ISLAM

Agama adalah hak penganutnya. Penganut Islam bertanggungjawab menjaga Islam dalam apa ancaman sekali pun. Mulianya orang Islam adalah kerana dia Islam mengakui hanya Allah yang layak disembah dan Nabi Muhammad pesuruh-Nya. Islam adalah nikmat terbesar yang dianugerahkan Allah kepada manusia. Sesiapa telah menjadi Islam, maka dia telah diangkat kedudukannya menjadi sebahagiaan daripada sebaik-baik umat.

Tidak disebut dalam mana-mana ayat al-Quran dan hadis menyuruh umat Islam menjaga agama lain. Apa yang diperintahkan ialah jangan hina dan cerca sembahan agama lain. Orang Islam mesti membenarkan orang bukan Islam mengamalkan kepercayaan mereka. Umat Islam diarahkan agar tidak memaksa penganut agama lain menerima Islam atau menganut agama Islam. Tiada paksaan orang bukan Islam menerima Islam.

Maqasid syariah diperkasakan oleh para ulama bagi memastikan keselamatan untuk menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Biarpun menetapkan lima gagasan dalam maqasid syariah, hakikatnya ia hanya berpaksi kepada satu iaitu agama. Apa sahaja yang dipiagamkan berkaitan kehidupan manusia adalah berkaitan agama atau peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah.

Penjagaan ataupun pemeliharaan agama yang disebut oleh para ulama maqasid syariah adalah merujuk kepada agama Islam. Oleh itu dari sudut siyasah syariah pemerintah negara Islam tidak mempunyai sebarang tanggungjawab menjaga agama lain. Bukan muslim boleh mengamalkan agama mereka secara bebas selagi mana tidak menggugat kedudukan agama Islam.

Sesungguhnya penjagaan Islam adalah tanggungjawab muslim dan agama lain pula tanggungjawab penganut agama lain. Firman Allah SWT bermaksud: "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku." (Surah al-Kafirun, ayat 6).

Allah SWT hanya mengiktiraf Islam sebagai agama yang diredai dan benar. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 85 bermaksud: "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam."

Manakala dalam surah an-Nisa ayat 139 pula bermaksud: "(Orang-orang munafiq) ialah orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafiq) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya).

Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa maqasid syariah yang paling tinggi adalah menjaga agama iaitu menjadikan Allah Tuhan yang disembah dan tidak ada manusia yang mensyirikkannya. Ini kerana hanya agama Islam adalah agama yang diredai Allah. (Majmu’ Fatawa, 2/13).

Sheikh al-Khadimi pula menyatakan bahawa maksudkan menjaga agama adalah memperkukuhkan hukum-hukum agama (Islam) kepada manusia dan kehidupan alam ini serta melakukan amalan untuk menjauhkan sesuatu dari apa yang bertentangan dengan agama Allah seperti bidaah dan kekufuran. (Ilm al-Maqasid al-Syar’iyyah, Nuruddin al-Khadimi).

Bagi al-Imam al-Syatibi pula menyatakan bahawa maksud menjaga agama adalah memperkasakan rukun-rukun agama Islam serta hukum-hukumnya yang ada”. (al-Syatibi, al-Muwafaqat)

Manakala Sheikh al-Munajjid menegaskan bahawa dalam menjaga agama, seorang Muslim seharusnya menekankan perihal agama yang diredai Allah itu sendiri.

Menghormati hak orang lain untuk beragama adalah ruang toleransi yang diletakkan di dalam hubungan kita sesama Muslim. Tetapi asasnya bagi seorang Muslim itu adalah menekankan soal menjaga, memelihara dan memperkukuhkan agamanya sendiri.

No comments:

Post a Comment