Saturday, 30 November 2024

SUKARELAWAN BSMM NEGERI KELANTAN AGIH KIT MAKANAN

 
Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Negeri Kelantan, Dr Seri Buana bin Zainudin bersama-sama dengan sukarelawan BSMM Negeri Kelantan melakukan agihan kit makanan tajaan Nestle kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah, Tumpat.
 
Kit makanan tajaan Nestle diterima pagi 30 Nov 2024 itu terus diagihkan pada hari yang sama kepada mangsa-mangsa banjir. Sebanyak 1,000 kita makanan yang mengandungi pelbagai item keperluan makanan harian itu akan diagihkan ke PPS terpilih. Agihan di PPS SMKA Falahiah adalah yang pertama dan seterusnya kepada PPS lain.
 
Menurut Buana, yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan, sebarang bentuk sumbangan yang diterima oleh pihaknya akan terus diagihkan kepada yang memerlukan. BSMM Negeri Kelantan menjadi “penghubung” penyumbang kepada mangsa-mangsa banjir.
 
Beliau mengakui jumlah yang dapat diagihkan agak terhad kerana jumlah itu sahaja yang diterima daripada penyumbang. Justeru, BSMM negeri Kelantan mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan melalui persatuan itu.
 
Pihak BSMM Negeri Kelantan menerima sumbangan dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan seperti makanan, pakaian, peralatan kebersihan, dan barangan harian. Sumbangan boleh diserahkan di Ibu Pejabat BSMM Negeri Kelantan yang terletak di Jalan Mahmood, Kota Bharu (bersetentang dengan Hotel Perdana) atau menghubungi talian 09-7435504.
 
Setiap sumbangan anda, besar atau kecil, membawa harapan dan semangat baru kepada mereka yang memerlukan. Mari berganding bahu untuk meringankan beban mangsa dan membantu mereka memulakan kehidupan semula.
 
Sementara itu, Buana mengucapkan sejuta penghargaan kepada sukarelawan yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan kewangan demi menyertai khidmat bakti kepada mangsa-mangsa banjir.
 
Sukarelawan BSMM Negeri Kelantan terlibat dalam pelbagai aspek bantuan seperti pemindaan mangsa banjir dari kediaman ke PPS, penyediaan makanan, khidmat kesihatan, pengangkutan, komunikasi dan pengurusan. 

Dr Seri Buana bin Zainudin




No comments:

Post a Comment