Friday, 25 April 2025

CHINGAY PERARAKAN MASYARAKAT TIONGHUA

 
Menurut Jabatan Warisan Negara, Chingay telah diisytiharkan sebagai antara salah satu elemen persembahan dalam Warisan Kebangsaan 2012 yang mana majlis pengisytiharan telah berlangsung di Bangunan Sultan Abdul Samad pada 10 Mei 2012.
 
Chingay merupakan persembahan perarakan yang telah wujud berabad lamanya di Malaysia. Chingay diraikan setiap tahun pada hari ke-21 bulan pertama kalendar Lunar Cina. Ia bersempena merayakan tarikh lahir dewa-dewa Cina.
 
Ia juga dikenali sebagai perarakan Dewi Kwan Yin (Goddess of Mercy) yang merupakan kemuncak kepada perayaan Chap Goh Meh. Persembahan Chingay ini dikaitkan dengan acara agama dan budaya tradisi masyarakat etnik Tionghua.
 
Perarakan Chingay diraikan pertama kalinya pada tahun 1919 semasa pesta perarakan di jalan-jalan George Town dan Butterworth. Perarakan Chingay yang kedua telah diadakan pada tahun 1926 dalam perayaan Hari Jadi Tuhan
 
Chingay ini dikaitkan dengan seni persembahan jalanan di mana terdapatnya pelaku yang akan melakukan aksi mengimbangi bendera gergasi bersaiz 7.6 hingga 9.8 meter dengan berat kira-kira 27 kilogram.
 
Pada awalnya perayaan Chingay di Pulau Pinang dikaitkan dengan amalan dalam upacara perayaan bagi meraikan dewa-dewa Tionghua semata-mata, namun kemudian berkembang menjadi lebih luas dan tidak hanya sebagai persembahan tradisional namun juga diserikan dengan akrobatik moden. Antara yang menarik adalah mengangkat tiang-tiang bendera dengan menggunakan mulut.
 
Perarakan Chingay Johor Bahru adalah bertemakan atas penyembahan lima dewa utama daripada lima kumpulan puak utama Tiong-Hua di Johor Bahru, iaitu Hainan, Kantonis, Hakka, Hokkien dan Teochew.
 
Oleh itu, Perarakan Chingay juga dimaksudkan sebagai ‘Perarakan Dewa’ dalam bahasa etnik berkenaan, sebagai tanda ucapan terima kasih kepada dewa.
 
Patung-patung dewa yang disembah dibawa keluar dari kuil dan dibawa beramai-ramai di jalan-jalan bandar sehingga orang ramai dapat menerima berkat dari dewa-dewa tersebut.
 
Pesta Perarakan Chingay ini juga disertai kumpulan tarian singa dan naga, persembahan opera Tiong-Hua, tarian-tarian eknik Tiong-Hua, persembahan akrobatik kung-fu, akrobatik kaki-kayu, patung ‘kepala-besar’ yang berwarna-warni, bendera-bendera gergasi setinggi 6 meter, persembahan Gendang 24 Perayaan, kereta berhias bunga dan tanglung dari pelbagai persatuan dan syarikat-syarikat ternama.
 
Masyarakat perlu memahami apabila masyarakat Cina menyebut perkataan "wen hua" (budaya), ia juga boleh merujuk kepada budaya seperti makanan, pakaian, seni tetapi pada masa yang sama kepercayaan dan perayaan yang berasal usul atau mempunyai elemen agama juga dipanggil sebagai wen hua kerana di dalamnya juga terdapat elemen seni, makanan tertentu, pakaian, warna tertentu, ucapan tertentu dan sebagainya.
 


No comments:

Post a Comment