Thursday, 10 April 2025

KEINDAHAN TASIK RABAN, LENGGONG

 
Keindahan dan keunikan Tasik Raban yang terletak dalam daerah Hulu Perak, merupakan tempat menarik di Lenggong. Ia adalah sebuah tempat menarik yang strategik, cantik dan mempunyai aktiviti santai untuk anda dan keluarga lakukan.
 
Jaraknya hanya kira-kira 12 kilometer dari pekan Lenggong melalui Jalan Kuala Kangsar-Gerik yang selesa. Tasik Raban diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.
 
Tasik buatan berkeluasan 25.9 kilometer persegi yang dahulunya dikenali Tasik Chenderoh itu terhasil daripada aliran Sungai Perak yang disekat oleh projek empangan hidroelektrik pertama negara ini yang dibina pada 1928, seterusnya menghasilkan limpahan Sungai Perak lalu membentuk puluhan pulau kecil.
 
Dikelilingi suasana berair dan dipagari suasana gunung dari dua banjaran yang terbentang luas iaitu Banjaran Bintang dan Banjaran Titiwangsa, menambahkan lagi pesona Tasik Raban.
 
Bagi pencinta alam semula jadi, anda pasti teruja melihat tumbuh-tumbuhan flora dan haiwan yang terdapat di alam yang segar nan indah ini. Semuanya amat asli dan mempunyai ekosistem yang lengkap.
 
Tasik ini membentuk ekosistem akuatik unik dengan nilai estetik dan kepelbagaian biologi tinggi kerana kaya dengan tumbuhan mengkuang, rumput air dan teratai di bahagian hulu tasik berkenaan.
 
Selain itu, ia turut diserikan beberapa perkampungan tradisional dengan komunitinya hidup bergantung sumber tasik itu.

No comments:

Post a Comment