Tuesday 3 July 2018

Berapa umur Aisyah ketika berkahwin dengan Rasulullah?

Berapa umur Siti Aisyah ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW? Umur Aisyah ketika berkahwin dijadikan penanda aras kebenaran berkahwin dengan kanak-kanak oleh sesetengah pihak. 

Sebenarnya, berapa usia minima lelaki atau wanita boleh berkahwin?  Persoalan ini sering menerjah minda terutama apabila ada kes kahwin muda, kedua-duanya muda atau salah seorang sahaja. 

Tiada ayat Quran dengan jelas menjelaskan umur minima lelaki mahupun perempuan untuk berkahwin. 

Dalam ayat al-Quran hanya disebut ‘balagh an nikah’ atau ‘cukup umur untuk berkahwin’ seperti dalam surah an Nisa ayat 6 yang bermaksud: “Dan ujilah anak yatim itu sampai mereka cukup umur untuk kawin. Kemudian jika menurut pendapatmu mereka telah cerdas (pandai memelihara harta), maka serahkanlah kepada mereka harta-hartanya.

Manakala hadis (perbuatan Rasulullah SAW) pula berdasarkan kepada perkahwinan Rasulullah SAW dengan Aisyah. Dengan kata lain hadis itu bukan satu penyataan tentang umur minima berkahwin.

Riwayat dari Hisham bin Urwah, daripada Aisyah, bahawa beliau berkata: “Rasulullah SAW telah menikahiku ketika umurku enam tahun dan baginda SAW telah bersamaku ketika umurku sembilan tahun”. (Riwayat Muslim, no. hadis 2547)

Dalam hadis lain maksudnya: “Nabi SAW telah menikahiku ketika umurku enam tahun”. (Riwayat al-Bukhari, no. hadis 3605)

Kedua-dua hadis itu adalah termasuk dalam himpunan hadis sahih tokoh hadis, Muslim dan Bukhari. 

Namun begitu, ada perdebatan mengenai hadis yang sanadnya terdapat nama Hisham bin Urwah yang dikatakan menghadapi masalah ragu-ragu dalam hafalan ketika usia tua, terutama semasa tinggal di Iraq.

Pendebatan para ulama menemukan menyatakan umur Aishah bukan 6 tahun ketika perkahwinan tetapi berumur dalam linkungan 14 - 16 tahun. Mereka bersandarkan kepada hadis atau peristiwa lain yang boleh disabit berkaitan usia.  

Antaranya di mana  Rasulullah tidak membenarkan kanak-kanak lelaki yang berumur 14 tahun ke bawah untuk mengambil bahagian dalam peperangan.

Di kalangan kanak-kanak bawah umur ini termasuklah Samrah bin Jundub, Bara bin Azib, Anas bin Malik, Zaid bin Thabith dan Abdullah bin Umar.

Ibn Umar tidak dibenarkan menyertai Perang Uhud kerana beliau berumur 14 tahun ketika itu dan peperangan pertama yang disertainya ialah Perang Ahzab atau dikenali dengan nama Perang Khandak. Oleh itu, had umur untuk menyertai satu-satu peperangan ialah 15 tahun.

Angka ini amat penting sehingga sesetengah ahli feqah, dengan berdasarkan riwayat Ibn Umar ini, telah menetapkan had kematangan (baligh) adalah sekurang-kurangnya 15 tahun.

Jadi sekiranya Rasulullah SAW hanya membenarkan mereka yang berumur 15 tahun ke atas untuk mengambil bahagian dalam peperangan, bagaimana mungkin seorang kanak-kanak perempuan di bawah umur dibenarkan untuk turut serta dalam peperangan?

Mengikut catatan sejarah, Aishah ikut serta dalam peperangan Badar dan Uhud, bermakna umur beliau adalah 15 tahun  ke atas ketika itu.

Aisyah turut serta sewaktu Perang Uhud yang berlaku pada 15 Syawal, tahun 3 Hijrah bersamaan bulan Mac tahun 625 Masihi. 

Bukhari menyatakan di dalam kitabnya: Diriwayatkan oleh Anas: Pada hari Perang Uhud, aku melihat Siti Aisyah dan Ummu Sulaim, mereka menyinsing kain untuk memudahkan mereka bergerak. Rasulullah mengenakan syarat yang ketat bagi mereka yang hendak mengikut Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Khandak. Mereka yang menyertai perang tersebut mesti berumur 15 tahun ke atas.

Diriwayatkan oleh Bukhari lagi di dalam kitabnya: Ibnu Umar mengatakan bahawa Rasulullah tidak membenarkan saya untuk mengikuti Perang Uhud kerana ketika itu umur saya 14 tahun. Tetapi di waktu Perang Khandak, Rasulullah membenarkan saya ikut berperang sebab umur saya sudah 15 tahun.

Berdasarkan riwayat Bukhari ini jelas menunjukkan:
- Aishah mengikuti Perang Uhud dan umur beliau telah menjangkau 15 tahun ketika itu,
- Jika umur Aishah pada 625 Masihi (3 Hijrah) ialah 15  tahun, maka Aishah dilahirkan pada 610 Masihi,
- Aishah berkahwin dengan Rasulullah pada 623 Masihi bersamaan 1 Hijrah bermakna pada ketika itu beliau berusia 14 tahun.

Perdebatan usia Aisyah ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW yang menyebut ketika usia 6 tahun menjadi polimik dan bahan digunakan oleh orentalis Barat untuk menuduh Rasulullah SAW sebagai gila seks dan seorang pedofilia.

Dan perkara ini turut digunakn oleh lelaki atau pihak yang ingin menjadikan hujah dibolehkan berkahwin dengan gadis di bawah umur.

Aisyah satu-satunya isteri Rasulullah yang dikahwini ketika masih anak dara, sedangkan yang lain sama ada berstatus balu mahupun janda.

Jika, Rasulullah tergolong gila seks, sudah pasti isteri-isteri baginda dikahwini dari kalangan anak dara yang cantik dan golongan bangsawan.

Sesungguhnya perkahwinan Rasulullah bersandarkan kepada kepentingan agama dan umnah, bukan kerana nafsu seks.

No comments:

Post a Comment