Tuesday 12 June 2018

CARA HIDUPKAN SAMBUTAN AIDILFITRI

Kemuliaan Aidilfitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah di dalam beberapa hadisnya. Oleh kerana itu kita umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan Malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban.

Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani yang bermaksud: “Barangsiapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir.”

Walaubagaimanapun kekeliruan terhadap Aidil Fitri di kalangan umat Islam menyebabkan hari ibadah sudah bertukar menjadi tradisi, hampir menyamai tradisi kaum lain yang menyambut hari raya mereka yang merupakan pesta atau majlis hiburan.

Marilah kita hidupkan malam Aidil Fitri dengan ibadah bukan dengan gelaktawa dan hiburan. Bergembira di hari raya selalu disalah ertikan. Kita sepatutnya gembira dengan menunjukkan kesyukuran dan membesarkan Allah dengan takbir dan tahmid. Bukan dengan muzik dan bunyian mercun.

Setiap perayaan mesti ada sejarahnya. Begitu juga perayaan dalam Islam. Sejarah hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati ada dua hari raya yang disambut oleh bangsa Arab pada masa itu. Apabila Rasulullah SAW bertanya kepada mereka apakah dua hari raya itu, mereka segera menjawab bahawa dua hari raya yang mereka sambut itu adalah perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka.

Lalu Rasulullah menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa Islam menggantikan dua hari raya yang kamu raikan itu dengan dua hari yang lebih bermakna iaitu Hari Raya korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri.

Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat.

Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna. Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana jika dilakukan akan terbatal puasanya. Kerana itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.

Kalimat ‘fitri’ sendiri bermaksud fitrah iaitu dengan kejayaan manusia balik kepada fitrah yang asal. Fitrah asal ini sebenarnya suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih daripada dosa dan noda.

Oleh kerana ia dikatakan sebagai perayaan keagamaan, maka cara menyambut hari raya itu sendiri perlulah mengikut adab dan peraturan tertentu. Apabila saja diumumkan hari raya, maka mulakanlah malamnya dengan aktiviti ibadat. Ini seperti memperbanyakkan solat sunat, bertasbih, bertakbir dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: “Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat.”

Pada pagi hari raya dimulakan dengan membersih diri, bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri dan seterusnya menghidupkan ukhwah dengan kunjung mengunjung di kalangan saudara mara dan sahabat handai.

Perlu diingat Islam tidak pernah mengajar umatnya agar untuk berlebih-lebih atau melampau batas dalam menyambut apa saja perayaan. Ini bermakna Islam menegah umatnya melakukan pembaziran dalam menyambut hari raya seperti boros berbelanja semata-mata untuk bergaya dengan pakaian mahal dan kuih muih terlalu banyak.

Pada zaman Rasulullah, datang seorang sahabat kepada baginda dengan berpakaian serba baru, kata sahabat ini: "Ya Rasulullah, pada tahun ini saya tidak dapat dapat menyambut Aidilfitri.” Lalu baginda segera bertanya: “Kenapa wahai saudaraku?” Lelaki itu berkata: "Kerana saya tidak ada baju baru."

Rasulullah kemudian bertanya kepada beberapa sahabat lain, agar sesiapa yang mempunyai baju baru dapat diberikan kepada lelaki tadi. Ini bermakna Islam tidak melarang sesiapa saja untuk bergaya dengan baju baru. Tetapi pengajaran daripada kisah tadi ialah dalam menyambut hari raya tidak semua bernasib baik dengan mempunyai pakaian baru. Lalu, digalak sesiapa yang ingin membuat kebajikan dengan bersedekah apa saja kepada orang yang tidak berupaya.

Konsep hari raya selalunya dikaitkan dengan pembaziran. Membelanjakan wang ringgit untuk membeli secara berlebihan atau membeli sesuatu yang boleh membawa kemudaratan seperti mercun dan bunga api amat salah di sisi agama. Mungkin pembaziran ini berlaku kerana masyarakat kita hidup dalam kemewahan.

Sepatutnya rezeki yang lebih itu disumbangkan kepada saudara seagama lain yang mungkin tidak dapat merayakan hari raya seperti kita. Satu lagi budaya yang lazim berlaku dalam sambutan hari raya ialah pemberian duit raya. Islam tidak melarang pemberian ini, asalkan tidak melampaui konsep pemberiannya itu.

Usahlah kita mendidik anak-anak supaya berkunjung ke rumah jiran semata-mata dengan harapan anak akan diberi duit raya ini. Jika sebaliknya, maka pelbagai anggapan dan prasangka buruk diberikan kepada sesiapa yang tidak melazimkan pemberian itu. Misalnya, dikatakan kedekut, tangkai jering dan bakhil.

Menyentuh soal wang ini, satu kewajipan yang perlu ditunaikan oleh semua umat Islam menjelang Aidilfitri ialah zakat fitrah. Wang zakat ini adalah sumbangan yang akan diberikan kepada golongan yang tidak berupaya, miskin, fakir dan sebagainya mengikut lapan asnaf yang ditetapkan syariat.

Jika Aidilfitri disambut dengan kegembiraan yang melampau tanpa melihat beberapa pengisian yang disebutkan tadi, pasti tujuan asalnya jauh menyimpang. Kedatangan Syawal sepatutnya menginsafkan muslimin di sebalik makna kemenangan dan kejayaan dalam sambutan Aidilfitri, kita tidak sepatutnya melupakan tuntutan agama.

Keseronokan menyambut hari raya biasanya dikaitkan dengan kanak-kanak. Merekalah golongan yang tidak sabar menanti hari lebaran untuk memakai baju baru, kasut baru dan mengutip duit raya.

Kedatangannya akan menjelang kembali seperti tahun-tahun sudah. Ia diraikan tanda kesyukuran atas kejayaan umat Islam melaksanakan rukun Islam yang ketiga. Ia juga sebagai tanda kemenangan dalam perjuangan menahan nafsu dari melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam bulan Ramadhan.

Sepatutnya, umat Islam merayakan Hari Raya dengan penuh kesyukuran dan pelbagai jenis amal mulia yang diredai oleh Allah SWT. Antaranya mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya, ziarah menziarahi di antara sesama jiran dan saudara mara, bersedekah dan lain-lain lagi.

Ajak mereka untuk bersama-sama menghidupkan malam Aidilfitri dengan ibadah bukan dengan gelak tawa dan hiburan. Bergembira di hari raya selalu disalah ertikan. Kita sepatutnya gembira dengan menunjukkan kesyukuran dan membesarkan Allah dengan takbir dan tahmid tetapi bukan dengan muzik dan bunyi-bunyian mercun.

Seperti kelaziman yang menjadi amalan setiap masyarakat di Malaysia menyambut kedatangan Aidilfitri, membuat persiapan menukar semua barangan dan kelengkapan rumah dan diri kepada yang baru seolah-olah satu kewajipan. Amalan ziarah menziarahi, bermohon maaf antara sanak saudara dan taulan, mengeluarkan zakat fitrah untuk disedekahkan kepada yang memerlukan merupakan amalan mulia yang positif dan patut diajarkan kepada anak-anak kecil serta terangkan kepada mereka kebaikannya.

Kesimpulannya, Aidilfitri adalah hari di mana nilai positif sejagat diraikan sebagai satu tuntutan agama. Adalah malang sekali andainya Aidilfitri semata-mata menjadi hari di mana kita membalas dendam terhadap nafsu makan dan minum yang terbatas sepanjang Ramadhan lalu.

Sikap bersederhana semasa membuat persiapan dari segi pakaian baru, menghias kediaman, juadah hari raya patut menjadi amalan supaya anak-anak tidak menjadikan ia amalan wajib dan membazir.

Janganlah menukar pakaian baru anda dan anak-anak, menghias kediaman sekadar untuk menunjuk-nunjuk. Manakala amalan ziarah menziarahi dan bermohon maaf sekadar suatu tradisi. Bahkan ada yang tidak sanggup keluar rumah untuk pergi menziarahi kerana sayangkan pelbagai rancangan televisyen yang menarik hingga anak-anak juga mencontohi sikap tersebut. Mengeluarkan zakat fitrah, sedekah raya semata-mata kerana memenuhi tanggungjawab peribadi dan sosial.

No comments:

Post a Comment