Monday 9 March 2020

SEJARAH DIKIR BARAT BERASAL DARI SELATAN THAI


Populariti dikir barat tidak lagi sekadar di Kelantan, bahkan kini telah tersebar di seluruh negara. Memang tidak dinafikan persembahan dikira barat telah lama terkenal di seluruh Malaysia yang berlaku hasil penghijrahan rakyat Kelantan. Sekarang ini, dikir barat tidak lagi dianggap khas untuk rakyat Kelantan sahaja.   

Banyak pihak menyangka dikir barat berasal dari Kelantan berdasarkan ia terkenal di negeri itu. Tambahan, dikir barat dipersembahkan dalam dialek Kelantan menguatkan lagi telahan itu.

Sebenarnya dikir barat bukan berasal di Kelantan. Kelantan hanya layak dipanggil negeri mempopularkan dikir barat di negara kita. Tempat asal dikir barat ialah dari Selatan Thai. 

Dikir barat diperkenalkan di Kelantan sekitar lewat 30an. Ketika itu banyak rakyat Kelantan berhijrah ke Selatan Thai mencari pekerjaan, terutama di bendang padi dan ladang getah. Mereka yang sering berulang alik itu kemudiannya menubuhkan kumpulan persembahan seperti mana ditiru di Selatan Thai. 

Persembahan itu dinamakan ‘dikir’ kerana berbentuk nyanyian beramai-ramai dengan suara nyaring.  Manakala perkataan ‘barat’ mengambil nama tempat asalnya. Bagi orang Kelantan, Selatan Thai dikenali ‘Barat’. Maka, persembahan dikir yang ditiru dari Barat dipanggil dikir barat.

Rentak lagu Barat mudah diminati penduduk Kelantan kerana ‘harmoni’ dengan dialek Kelantan. Masyarakat Melayu di Selatan Thai menggunakan dialek hampir sama dengan penduduk Kelantan. 

Manakala irama bertepuk tangan dan alatan muzik yang digunakan menimbulkan suasana gembira dan meriah. Alatan terawal digunakan ialah rebana ubi dan cere (sejenis buluh). Pengikut atau awak-awak seramai 30 bertepuk tangan dan menyahut perkataan ‘tok joro’ dan tukang karut.

Kemudian, alat yang digunakan telah diganti dan ditambah. Rabana ubi digantikan dengan rebana ibu dan rebana anak. Rece menggantikan cere dan ditambah ialah sebiji gong dan canang. Bilangan awak-awak pula dikurangkan kepada sekitar 15 orang. 

Sebelum dikir barat dikenali, di Kelantan terdapat dua jenis dikir iaitu dikir rebana dan dikir laba. Bagaimanapun dengan kemunculan dikir barat menyebabkan kedua-dua jenis dikir itu tidak diminati lagi.

Dikir rebana kurang diminti kerana lebih kepada persembahan paluan rebana. Manakala dikir laba (diambil dari perkataan labah-labah) kurang diminati kerana disampaikan dalam bahasa Arab yang dikarang mengikut sesuka hati (berkait-kait) sehingga jauh dari landasan asal berzanji.

Bila memperkatakan dikir barat, nama Pak Leh Tapang tidak boleh dilupakan. Ramai orang mengenali beliau kerana dikir barat. Pak Leh Tapang atau nama sebenarnya Haji Mat Salleh bin Hj. Ahmad berasal dari Kampung Tapang, Kota Bharu.

Pak Leh Tapang merupakan antara orang yang memperkenalkan dikir barat di Kelantan. Pak Leh Tapang bertanggungjawab menambahkan pantun-pantun di dalamnya nyanyian persembahannya. Sbelum itu, ketika dikir barat mula diperkenalkan di Kelantan ianya adalah dalam bentuk dikir tanpa pantun.

Semasa pemerintahan Jepun, beliau pernah dipanggil untuk menerangkan sesuatu dengan cara berpantun. Masa itu juga ada satu kumpulan berdikir yang diketuai oleh Jaffar Wakaf  Mek Zainab yang memperkenalkan dikir barat di kampungnya. Awak-awaknya terdiri daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam). Mereka  melagukan lagu-lagu yang dibawa dari Selatan Siam dan Pak Leh Tapang  pula yang mengubah dan menambahkan dengan pantun-pantun  untuk menyedapkan lagi dikir barat.

No comments:

Post a Comment