Wednesday 7 October 2020

TAMAK PUNCA TIDAK KELUAR ZAKAT


Tidak berzakat didorong oleh perasaan tamak dan mencintai dunia, lebih daripada kehidupan akirat yang bakal dihadapi. Orang tamak dan mencintai dunia sentiasa merasakan dirinya muda dan tidak memikirkan soal mati dan hari pembalasan. Malah, orang mencintai dunia amat benci berdepan kehidupan hari tua dan kematian.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Hati orang tua menjadi muda kerana mencintai dua perkara iaitu mencintai nikmat kehidupan dan harta.” (Hadis riwayat Bukhari).

Sesiapa mengejar kemewahan dunia semata-mata tanpa memikirkan apa perlu dilakukan kepada harta untuk bekalan di akhirat, diumpamakan seperti menyayangi bangkai. 

Sebuah hadis diriwayatkan oleh Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim bemaksud: “Tidakkah kamu terfikir bagaimana tidak berharganya bangkai kambing itu bagi tuannya. Demi Allah, dunia ini hina pada pandangan Allah lebih daripada kambiang itu menurut pandangan tuannya. Kalau duni ini sama (nilainya) di sisi Allah dengan sehelai sayap nyamuk, nescaya Allah tidak memberi minum kepada orang kafir walaupun seteguk air pun.”

Institusi zakat adalah sebahagian daripada sistem sosial ekonomi yang diwujudkan sejak awal kehidupan manusia. Ia mendahului mana-mana sistem ekonomi yang diperkenalkan oleh manusia. 

Zakat bukan saja diwajibkan terhadap umat Nabi Muhammad, bahkan kepada umat-umat nabi terdahulu. Mengeluarkan zakat menjadi salah satu ibadat utama umat nabi terdahulu dalam menentukan keimanan dan ketakwaan. Qarun yang hidup pada zaman Nabi Musa termasuk golongan kufur kepada Allah adalah disebabkan dia ingkar kepada perintah mengeluarkan zakat.    

Institusi zakat yang diuruskan dengan berkesan dapat menjana perkembangan ekonomi yang teratur dan kehidupan masyarakat dapat berjalan dengan perasaan saling hormati, kasih sayang dan tidak ada golongan yang tersisih. 

Perasaan kasih sayang dan saling menghormati adalah lambang perpaduan dan kekuatan umat Islam. Oleh itu Islam amat mementingkan ikatan kasih sayang yang dijadikan sebahagian daripada tanda keimanan. 

Sabda Rasulullah: “Tidak sempurna iman seorang itu sekiranya dia tidak mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Agihan zakat dapat memberi peluang bagi golongan miskin meneruskan kehidupan dengan lebih selesa, selamat dan berupaya melaksanakan aktiviti kehidupan dengan sempurna, seterusnya dapat membaiki tahap kehidupan. 

Biarpun, sistem cukai juga mirip kepada zakat, perlaksanaan cukai melibatkan semua rakyat tanpa mengira agama dan bidang usaha dilakukan. Termasuk dalam senarai cukai ialah perniagaan haram seperti perjudian dan perniagaan arak.

Malah aspek cukai juga lebih menekankan kepada perlaksanaan undang-undang negara yang lebih bersifat memenuhi keperluan fizikal. Seorang pembayar cukai adalah seorang rakyat yang baik, tetapi belum tentu seorang yang beriman kepada Allah. 

Zakat dikeluarkan dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah, sedangkan cukai menjadi tuntutan undang-undang. Sebab itu ramai pembayar cukai cuba melakukan pengiraan untuk mengurangkan cukai, sama ada cara dibenarkan (melalui rebet) atau penipuan pengiraan. 

Namun, sesiapa membayar cukai dengan niat ikhlas sebagai menunaikan tanggungjawab kepada negara, maka apa dilakukan itu satu kebajikan. Islam mewajibkan agar rakyat mentaati pemerintah dalam hal-hal kebaikan.

 

No comments:

Post a Comment