Sunday 20 September 2020

BANTU SEKADAR TERMAMPU AMBIL SEKADAR PERLU

Di sekeliling kita terdapat banyak orang memerlukan bantuan. Maka hulurkan bantuan dalam apa bentu sekalipun sekadar termampu. Besar pahala mereka yang membantu orang lain.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan bandingan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul daripada jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah, ayat 265)

Mereka yang menerima bantuan pula perlulah bersyukur dan berterima kasih. Jangan ada perasaan iri hati jika bantuan yang diterima tidak sama dengan orang lain.

Satu fenomina tidak baik apabila timbul perasaan tamak untuk mendapat sumbangan lebih. Keadaan ini berlaku ketika berlaku bencana apabila ada banyak pihak menyumbangkan sumbangan.

Ada penerima berebut-rebut ketika menerima bantuan, sehingga mengambil lebih daripada apa yang sepatutnya.

Sikap tamak perlu dihindari. Sesungguhnya manusia boleh jadi lupa untuk mensyukuri nikmat Allah tatkala mendapat nikmat yang banyak.

Firman Allah dalam al-Quran bermaksud: “Dan sememangnya sedikit sekali di antara para hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah Saba’, ayat 13)

Jangan lupa mengucapkan terima kasih kepada pihak yang menghulurkan bantuan. Perkara ini meskipun kelihatan kecil, tetapi ia dapat menyuburkan rasa kasih sayang sesama insan. Kebaikan yang dilakukan orang yang menghulurkan sedekah perlu dihargai kerana mereka adalah golongan yang diiktiraf kebaikannya di sisi agama.

Sabda Rasulullah SAW: “Tangan yang di atas (orang yang bersedekah) lebih baik daripada tangan yang di bawah (orang yang menerima sedekah).” (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari)

Bagi yang tidak layak menerima bantuan pula, usah meminta-minta sehingga boleh menjatuhkan air muka sendiri. Jangan sesekali mengambil sesuatu yang diri sendiri tidak berhak menerimanya.

Jika ada pihak yang menghulurkan sumbangan maka ambil namun jangan sesekali meminta-minta. Perbuatan meminta boleh dikira sebagai satu usaha untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati, tetapi meminta-minta merujuk kepada perbuatan meminta dalam keadaan diri tidak layak serta mempunyai unsur paksaan.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Seseorang yang selalu meminta-minta kepada orang lain, maka pada hari kiamat dia akan menghadap Allah dalam keadaan tiada sekerat daging sama sekali di wajahnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya amalan menghulurkan bantuan kepada sesama insan dapat mengeratkan lagi hubungan manusiawi yang akhirnya menatijahkan kehidupan yang harmoni dan diberkati Allah.

No comments:

Post a Comment