Friday 17 September 2021

HUTAN SIMPAN KEKAL CHABANG TONGKAT

Hutan Simpan Kekal Chabang Tongkat terbentuk melalui gabungan tiga jajahan iaitu jajahan Kota Bharu, Pasir Puteh dan Machang. Hutan Simpan Kekal Cabang Tongkat ini kaya dengan pelbagai khazanah flora dan fauna.

Di kawasan hutan simpan ini terdapat satu kawasan Air Terjun Batang Nyor yang sesuai untuk aktiviti berkelah atau mandi.

Menariknya kawasan hutan di sekitar jeram ini terdapat bunga pakma (rafflesia) yang merupakan sejenis bunga terbesar di dunia. Untuk ke tempat ini perlu melalui Kampung Dewan Kecil.

Jabatan Perhutanan Kelantan bercadang menjadikan lokasi penemuan bunga Rafflesia sebagai tarikan baharu bagi peminat biodiversiti selain menarik kedatangan pelancong.

Bagi memastikan pemuliharaan bunga ini, pegawai Jabatan Perhutanan Kelantan sentiasa memantau tempat yang menjadi lokasi pertumbuhan bunga rafflesia dan akan merakam gambar atau video mengenai kitaran hidup Rafflesia bermula dari tarikh ia dijumpai sehinggalah hayatnya tamat.

Bagaimanapun, bagi pertumbuhan bunga ini, apa yang penting adalah perumahnya iaitu stigma (Tetrastigma Planch) dan jika tidak ada perumah, tidak mungkin kita akan menjumpai Rafflesia di mana-mana lokasi di negeri ini.

Kebiasaannya bunga rafflesia ini mengambil masa antara tujuh hingga sembilan hari untuk berkembang sepenuhnya sebelum mati.

Pemuliharaan rafflesia perlu dilakukan termasuk pembabitan masyarakat setempat untuk memastikan kelestarian habitat bunga yang istimewa ini kekal terpelihara.

Sebenarnya, di Kelantan terdapat dua lagi kawasan ditemui pokok rafflesia iaitu Hutan Simpan Kekal Ulu Sat dan Hutan Simpan Lojing.

Rafflesia yang ditemui di Hutan Simpan Kekal Lojing adalah daripada spesies kerrii dan saiznya lebih besar, manakala di Hutan Simpan Kekal  Ulu Sat dan Hutan Simpan Kekal Chabang Tongkat pula dari spesies Cantleyi Solms-Laubach.

Rafflesia daripada spesies Cantleyi Solms-Laubach bersaiz kecil. Saiz bunga berkenaan berkembang sehingga empat inci.

Spesis Cantleyi Solms-Laubach adalah antara jenis tumbuhan liar yang boleh ditemui di hutan tanah rendah di Semenanjung selain terdapat bintil putih yang halus di kelopak bunganya dan lebih menarik apabila disuluh dengan cahaya lampu ia menyerupai gambar tiga dimensi (3D).

No comments:

Post a Comment