Saturday 29 January 2022

GUNA WARNA MERAH SAMBUTAN TAHUN BAHARU CINA

 
Pada sambutan Tahun Baharu Cina, warna merah akan menguasai kehidupan kaum Cina. Warna merah menggambarkan keadaan yang terang dan ceria menjadi lambang kegembiraan dan menjanjikan sinar kecerahan dalam kehidupan.

Warna merah itu dipanggil ‘hong’ dalam bahasa Cina dan bunyinya kedengaran seperti ong atau bertuah. Maka, masyarakat Cina percaya warna ini akan membawa tuah jika dipakai pada hari pertama Tahun Baharu Cina dan majlis perayaan yang lain.

Mereka percaya dengan pemakaian warna ini akan dilimpahi tuah dan kecemerlangan sepanjang tahun.

Nasib mereka akan ditimpa malang sekiranya memakai pakaian yang berwarna hitam dan warna-warna yang gelap.

Sebab itu, adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu dalam majlis-majlis perayaan kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.

Hiasan tanglung berwarna merah yang pelbagai saiz dan bentuk sering memenuhi kawasan kediaman masyarakat Cina. Ini menunjukkan perayaan itu akan disambut dengan cukup meriah.

Hiasan dalaman rumah dan tanglung-tanglung serta birai pintu rumah juga akan diwarnai dengan warna merah bagi menyambut ketibaan tetamu. Hiasan bunga-bunga juga berona merah mewujudkan semangat keceriaan yang padu dan harmoni.

Semasa zaman dahulu orang-orang tua masyarakat Cina sering berpesan agar orang-orang kampung menggantungkan kertas berwarna merah di pintu-pintu dan tingkap-tingkap rumah mereka pada setiap waktu menjelangnya tahun baharu.

Ini kerana dikhuatiri binatang bernama Nian (raksaksa) akan mengganas di kawasan rumah mereka. Warna merah sangat ditakuti oleh Nian, dan mampu menghalau raksaksa tersebut.

Kanak-kanak atau sesiapa yang belum berkahwin layak menerima angpau tanpa mengira usia. Angpau ialah wang yang dimasukkan ke dalam sampul kecil sebagai hadiah. Sampul yang digunakan adalah berwarna merah.

Warna merah sampul ini melambangkan tuah. Jumlah wang yang terkandung dalamnya lazimnya dikehendaki bermula dengan angka genap kerana angka ganjil dikaitkan dengan wang yang diberi ketika majlis pengebumian.

Warna merah sebenarnya membawa maksud keteguhan, keberanaian, keceriaan dan kemegahan. Warna ini dikatakan memberi dorongan kepada keadaan yang lebih positif dalam kehidupan masyarakat Cina. 

Warna ini sering digunakan dalam perayaan dan sambutan majlis kebesaran mereka kecuali hari-hari yang menunjukkan keadaan kesedihan dalam kehidupan mereka. 

Warna ini akan terus menjadi simbol kemegahan masyarakat tersebut malah melambangkan keteguhan dan kemegahaan negara apabila digunakan sebagai simbol pada logo-logo, lencana, bendera dan setem malah turut diterjemahkan pada wang kertas dan duit syiling.

Warna merah menguasai hampir setiap ruang di dalam dan luar rumah mereka. Bila tibanya perayaan ini hiasan berwarna merah sering  digantung sepanjang jalan yang menandakan perayaan itu kini bukan sahaja disambut oleh masyarakat tersebut tetapi juga sudah menjadi seperti perayaan seluruh masyarakat.

No comments:

Post a Comment