Monday, 17 February 2025

ROSLAN DISALAH ANGGAP SEBAGAI PENERIMA BANTUAN

 
Roslan Ismail dikategori orang kelainan upaya (OKU). Pergerakkan terhad. Tidak boleh berdiri untuk berjalan. Namun masih lagi mampu menggunakan kekuatan tangan untuk “bangun”. 

Kalau hendak pergi ke mana-mana di kawasan kampung, dia mampu naik dan turun sendiri motosikal roda tiga. Kalau di majlis “rasmi: dia lebih duduk di atas kerusi roda. Mudah untuk orang lain membantu menolaknya atau dia gerakkan sendiri kerusi roda itu.
 
Roslan kerap dilihat di majlis penyampaian bantuan kepada asnaf dan golongan yang memerlukan. Jadi, dia sering disalah anggap oleh orang tidak mengenalinya sebagai penerima bantuan. 

Ini termasuklah di Program Kembali Ke Sekolah, penyampaian bantuan kepada pelajar-pelajar miskin yang tinggal di kepulauan delta Sungai Kelantan.
 
Program anjuran Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan (PCAK) yang dipengerusikan oleh Fazliyaton Daud, membawa pelajar membeli keperluan persekolahan di sebuah pasar raya di Tumpat. PCAK selalu mengadakan progaram bersama Abe Lan kerana dia adalah AJK PCAK.
 
Roslan yang berkerusi roda turut hadir dan membantu pelajar memilih keperluan masing-masing. Dia membantu melancarkan program yang turut mendapat sumbangan daripada beberapa pihak lain.
 
Roslan atau lebih dikenali Lan Pulau Seratus atau Abe Lan memang sibuk pada setiap kali buka penggal persekolah. Dia sibuk mencari penyumbang atau bantuan untuk membeli baju dan keperluan persekolah.
 
Baju dan keperluan sekolah itu bukan untuk anaknya. Dia tidak ada anak. Tetapi, dia berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan wang, baju atau keperluan persekolahan untuk membantu pelajar di kepulauan delta Sungai Kelantan, Tumpat.
 
Usaha Abe Lan tidak sia-sia. Banyak NGO dan orang perseorangan bersedia menjayakan hasratnya. Wang dan sumbangan diserahkan kepadanya untuk diagihkan-agihkan kepada yang layak.
 
Sebenarnya, Abe Lan tidak hanya membantu pada awal buka sekolah, bahkan sepanjang tahun. Dia adalah aktivis kemasyarakatan dan kesukarelaan tegar yang menyumbang bakti untuk kebaikan dan kesenangan orang lain. 
 
Dia yang terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelaan apabila mula terlibat dengan aktiviti belia melalui persatuan belia dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat secara langsung dalam aktiviti kemasyaraktan dan kesukarelaan. 
 
Bermula sejak lebih 30 tahun lalu, Roslan tidak jemu-jemu untuk terus membantu orang lain sebaik mungkin biarpun dalam keadaan keupayaan yang terbatas. 
 
Semangat kesukarelawan dan kemasyarakatan Roslan membantu penduduk diiktiraf melalui pelbagai anugerah. Anugerah terbaharu diterima adalah Tokoh OKU Parlimen Tumpat 2022. 
 
Selain Tokoh OKU Parlimen Tumpat 2022, beliau telah menerima Anugerah Rakan JobsMalaysia Terbaik (2016, 2017) disampaikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, 
 
Senarai anugerah lain diterima Roslan;   
- Anugerah Tokoh Aktivis Belia Kelantan 2021   
- Anugerah Kelab Nadi Bangsa (1996)  
- Anugerah Sukarelawan YOKUK (2000)   
- Dilantik rakan komuniti JPN Negeri Kelantan oleh Ketua Pengarah JPN (2018)   
- Anugerah Belia Kelantan (2019)   
- Menjalani umrah Bersamamu TV3 (2016) 
 
Jadi, tidak hairan jika ada pemimpin datang atau aktiviti di kepulauan, Roslan akan dijemput bersama atau dilibatkan untuk menjayakannya. Dia menjadi ikon penduduk pulau.
 
Roslan tidak mampu berjalan akibat mengidapai polio semasa kecil akan bergerak dari satu pulau ke satu pulau dengan menggunakan ATV ataupun motosikal roda tiga, selain menggunakan bot dari jeti ke jeti.
 
Untuk membantu penduduk pulau, dia sering mendapat kepercayaan penyumbang yang menyalurkan bantuan melaluinya. Wang dan barang keperluan yang disumbangkan oleh individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan diagihkan kepada penerima dengan sebaiknya.
 
Roslan yang sudah lama melakukan aktiviti kemasyarakatan tidak menghadapi masalah untuk mengenal pasti individu yang layak. Boleh dikatakan setiap lorong dan rumah di kawasan pulauan itu diketahuinya.
 
Dia tahu status setiap ketua isi rumah mana yang perlu dibantu atau sebaliknya. Jadi, tidak timbul soal untuk memilih penyumbang.
 
Beliau akan pergi sendiri ke rumah penduduk kampung, atau jika tidak berkesempatan, akan meminta penerima datang ke rumahnya.
 
Begitulah insan hebat yang bertekad akan terus menyumbang bakti kepada penduduk kepulauan dan sesiapa sahaja yang mampu dibantu.

 

No comments:

Post a Comment