Sunday, 26 November 2017

STATUS NEGARA ISLAM

Persoalan berkaitan status negara sama ada negara Islam (dar al-Islam), negara bukan Islam yang memerangi Islam (dar al-harb) dan negara Islam yang tidak memerangi Islam (dar  al-Ahd) hanya dibincangkan di kalangan ulama terkemudian. 

Negara-negara Islam di seluruh dunia sekarang membuat perisytiharan negara masing-masing sebagai Islam berdasarkan kepada kefahaman dan juga keinginan berbuat demikian.  

Berdasarkan kepada peraturan Barat, mana-mana negara yang penduduknya majoriti Islam, dianggap negara Islam dan begitulah sebaliknya.

Bagaimanapun, mengikut ulama fikah ada syarat menentukan sesebuah negara Islam atau tidak. Syeikh Muhammad Abu Zuhrah menyebut bahawa ‘negara Islam ialah negara yang berada di bawah kuasa pemerintah Islam, dalam mana kekuatan dan pertahanannya berada di tangan umat Islam’.  

Negara seperti ini wajib dipertahankan oleh setiap Muslim.

Muhammad bin Hassan as-Syaibani pula mentakrif negara Islam sebagai ‘negara yang dikuasai oleh umat Islam, dalam mana orang-orang Islam boleh keamanan di dalamnya.

Berdasarkan kepada dua definisi itu, sahlah Malaysia sebagai negara Islam. 

Apapun, kepentingan sebenar status negara Islam ialah pengisian kepada makna Islam dalam kehidupan lebih penting diberi perhatian. Bertelingkah dalam masalah menentukan negara Islam atau bukan negara Islam tidak mendatangkan apa-apa keuntungan.   

Rakyat di Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan budaya hidup dalam suasana aman, harmoni, sejahtera dan selamat.  

Setiap rakyat bebas menganut kepercayaan dan mengamalkan cara hidup masing-masing sepertimana ditetapkan dalam perlembagaan.

Orang Melayu yang beragama Islam adalah tonggak pemerintahan negara dan memegang hak keistimewaan, tanpa mengabai dan menindas bangsa-bangsa lain. Setiap rakyat dilayan sama rata dari segi mendapat hak dan keadilan.

Keadaan ini jauh berbeza berbanding beberapa buah negara Islam lain dilanda perang saudara, perebutan kuasa dan ancaman pihak luar. Keadaan itu berpunca akibat tidak bersatu dan masing-masing menganggap puaknya lebih baik sehingga sanggup bermusuhan sesama sendiri.

Apa yang dinikmati umat Islam di Malaysia sudah ‘memadai’ memenuhi asas ditakrif sebagai negara Islam. Pun, kualiti dan nilai sebenar negara Islam bergantung kepada apa yang diamalkan dan mampu dicapai oleh rakyatnya.  Islam tidak menilai pada nama semata-mata.

Satu perkara mesti ditekan bagi sebuah negara Islam ialah kemajuan dari segi pembangunan fizikal dan rohani masyarakat. Perkara ini lebih penting diberi penekanan berbanding nama dan slogan semata-mata.   

Ada pihak yang berselindung di sebalik nama untuk meraih sokongan, tetapi tidak mampu untuk membawa umat Islam ke arah kehidupan sepertimana kehendak agama.  

Hakikat bahawa Malaysia adalah negara Islam paling ke hadapan dalam segenap aspek pembangunan yang menjadi contoh kepada negara-negara Islam dan juga negara bukan Islam tidak dapat dinafikan lagi. Kejayaan ini hasil usaha kerajaan yang sentiasa mementingkan usaha pembangunan fizikal dan rohani untuk kepentingan rakyat. 

No comments:

Post a Comment