Friday, 26 January 2018

WANITA DAN LELAKI ADA HAK BERBEZA

Lelaki dan wanita diciptakan oleh Allah masing-masing berbeza secara tabie. Justeru, selama-lamanya lelaki dan wanita tidak boleh mengatakan mempunyai hak yang sama. Hikmah kejadian lelaki dan wanita tidak sama adalah tanda kekuasaan Allah. 

Firman Allah bermaksud: “Dan antara kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untukmu isteri daripada jenismu, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikannya antara kamu rasa kasih sayang.” (Surah ar-Rum, ayat 21).

Lelaki dan wanita ibarat sepasang kasut yang sama tetapi berbeza, ada kiri dan kanan. Kasut kiri tidak dapat dipakai di kaki kanan dan begitulah sebaliknya. Allah mencipta semua benda berpasang-pasang. Itulah fitrah kejadian alam untuk mewujudkan keseimbangan.

Oleh itu, perjuangan hak secara total antara lelaki dan wanita seperti diperjuangan wanita Barat adalah menyalahi tabie kejadian manusia. Wanita Barat sengaja berpura-pura menuntut sesuatu yang diketauhi tidak mungkin terlaksana.

Antara lelaki dan wanita telah ada tanggungjawab dan peranan masing-masing untuk saling melengkapkan kehidupan ini secara tabie. Sekiranya aturan tabie ini tidak dipatuhi, maka cacatlah perjalanan hidup yang membawa kecelaruan tanggungjawab. 

Membezakan tanggungjawab antara lelaki dan wanita bukan bermakna merendahkan martabat wanita. Hakikatnya, Islam tidak membeza-bezakan kedudukan antara lelaki dan wanita. Kita perlu faham erti sebenar persamaan hak antara lelaki dan wanita agar bersesuaian dengan keperluan sebenar. 

Persamaan hak untuk dua yang berbeza hendaklah dilihat melalui pengertian sosial dan bukannya secara matematik.  

Dalam aspek agama pula, persamaan hak hendaklah dilihat berasaskan kepada hukum agama. Allah Maha Mengetahui mengapa ditetapkan hak wanita kurang berbanding lekaki, contohnya dalam soal pembahagian harta pusaka.   

Sebarang perbezaan ada timbal balas. Lelaki menjadi pemimpin kerana tanggungjawab menyediakan nafkah dan menjaga keselamatan wanita. Tanggungjawab wanita dalam rumahtangga kurang jika berbanding dengan lelaki.  

Ini sebenarnya satu penghormatan untuk wanita. Justeru, mengapakah wanita perlu bersusah payah mendapatkan persamaan hak yang menyebabkan bertambah tanggungjawab.  

Memang tidak dinafikan lelaki diberi lebih hak berbanding wanita dalam soal kuasa dalam rumahtangga. Contohnya, ucap akad nikah dilakukan oleh lelaki, kuasa melafaz talak juga terletak di tangan lelaki, kuasa wali ada pada bapa dan isteri perlu taat kepada suami.

Hakikatnya, kelebihan itu bukan satu hak istimewa, tetapi satu tanggungjawab yang  berat. Segala tanggungjawab itu bakal dipersoalkan di akhirat. Lelaki yang gagal menjalankan tanggungjawab bakal dihumbankan ke dalam neraka.  

No comments:

Post a Comment