Tuesday, 26 December 2017

TANAM KEFAHAMAN AGAMA SEJAK KANAK-KANAK

Manusia dihantar ke dunia untuk diuji soal kepatuhan kepada Allah. Manakala di akhirat manusia akan menerima balasan apa yang dilakukan di dunia sama baik atau sebaliknya.

Islam adalah satu-satunya agama yang diterima atau ditetapkan oleh Allah untuk dijadikan anutan manusia. Telah ditetapkan piagam atau peraturan kehidupan manusia yang perlu dipatuhi.

Fahaman dalam soal agama perlu disemai dalam diri sejak berusia kanak-kanak. Ibu bapa bertanggungjawab mendidik dan mengukuhkan keimanan kepada Allah SWT di setiap jiwa anak dan tidak membiarkan mereka hidup menyimpang daripada agama.

Oleh itu, sandarkan segala tindakan dan urusan kepada al-Quran dan hadis terutama untuk mengukuhkan keimanan anak seperti sabda Rasulullah SAW supaya diperkenalkan kalimah syahadah kepada anak supaya kalimah tauhid menjadi perkara pertama didengari bayi yang dilahirkan ke dunia. Apabila anak sudah mampu berfikir, kenalkan mereka hukum halal dan haram.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: "Bekerjalah kamu dengan taat kepada Allah dan jauhilah hidup kamu daripada melakukan maksiat kepada Allah. Hendaklah kamu mengajar anakmu sejak kecil untuk mentaati perintah Allah, larang mereka daripada melihat perkara yang tidak baik. Apabila kamu melakukan sedemikian, kamu sedang menjaga diri kamu dan dirinya daripada dihumban ke dalam neraka."

Selain itu, apabila umurnya mencecah tujuh tahun ajak mereka beribadat kepada Allah SWT, iaitu mengajar untuk solat, mengenali aurat lelaki dan perempuan yang berbeza antara satu sama lain.

Begitu juga dibenarkan untuk memukul dengan tujuan untuk mendidik jika meninggalkan solat apabila usianya mencapai 10 tahun, selain mengasingkan tempat tidur mereka dan membiasakan diri untuk berpuasa serta mengerjakan haji apabila berkemampuan.

Mendidik anak mengenali agama adalah hak mereka yang perlu dipenuhi oleh kedua ibu bapa supaya sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah SWT.

Kebebasan bergaul tanpa batasan juga akan merosakkan anak tanpa mengira peringkat usia kerana pada usia yang masih muda ada yang sudah terjebak melakukan pelbagai jenayah. Semua itu berpunca daripada ibu bapa yang gagal mengawal perlakuan anak mereka.

Justeru, untuk mengukuhkan keimanan dalam diri anak, tanamkan rasa khusyuk, takwa dan sifat kehambaan kepada Allah SWT sejak mereka kecil lagi. Rasa khusyuk dapat dibentuk ketika mereka memberi sepenuh perhatian kepada ibadat solat.

Sentuhlah jiwa mereka dengan rasa sesalan dan kehambaan ketika membaca al-Quran dan sering mengingatkan bahawa orang mukmin berjaya bukan yang memiliki harta dan kemewahan atau kecantikan rupa paras, tetapi yang sentiasa khusyuk ketika mendirikan solatnya.

No comments:

Post a Comment