Bangsa bersatu adalah
bangsa yang kuat dan berdaya tahan. Benar kata pepatah, bersatu kita teguh,
bercerai kita roboh. Perkara ini perlu disemat dalam sanubari setiap rakyat.
Justeru, kita memerlukan
karakter bangsa Malaysia yang bersemangat juang dan berwawasan kebangsaan.
Jangan hanya fikirkan kepentingan bangsa sendiri sahaja. Kita satu Malaysia
berpagang teguh kepada Prinsip Rukun Negara.
Dalam konteks ini, semua
komponen bangsa harus membekalkan diri dengan ilmu dan kemahiran seoptimum
mungkin, membina kepakaran sesuai bidangnya serta bersedia dan berani menceburi
apa juga bidang dengan penuh yakin.
Setiap bangsa mempunyai
kekuatan dan identiti masing-masing yang sangat berguna untuk membina negara
lebih sejahtera dan berjaya. Namun, tiada bangsa yang sempurna dan boleh
mendabik dada bahawa kaum merekalah sahaja yang membina kekuatan negara,
terutama dari segi ekonomi.
Rakyat perlu memahami
aspek Perlembagaan Persekutuan yang telah menjelaskan beberapa perkara
berkaitan bangsa dan agama. Hal ini telah diamalkan sejak negara ini tertubuh
apabila mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Bukan soal siapa hebat
dan kuat, tetapi apa yang penting ialah sama-sama menyumbang untuk kebaikan.
Siapa berusaha lebih, maka dia berhak mendapat apa yang diusahakan itu. Tidak
kira bangsa apa, selagi memegang status warganegara Malaysia, dia mendapat hak
yang sama dalam Malaysia yang berdaulat.
Kefahaman ini perlu
supaya kita benar-benar menempa pengalaman yang nyata di lapangan penuh
persaingan ini. Siapa hebat pasti ke hadapan dan meraih keuntugan sebagai
rakyat Malaysia.
Hanya dengan kekuatan
karakter sedemikian, bangsa Malaysia akan mampu berdepan apa juga cabaran dalam
memajukan diri, bangsa dan negara. Sikap mempersoalkan apa yang telah diterima sejak
dahulu hanya akan melemahkan perpaduan negara.
Pasti kita tidak mahu
nilai buruk yang mengancam sendi kekuatan bangsa menjadi penghalang kepada
kesatuan dan kekuatan bangsa. Kita tidak mahu masyarakat dihantui jenayah,
konflik dan perkelahian antara kaum, agama dan kelompok berlainan fahaman
politik.
Kalau perpaduan terlerai,
maka ketika itu semua bangsa akan menanggung kesan buruk. Negara dan rakyat bakal
menempuh kehidupan sukar. Jadi, jangan sekali-kali membuat sesuatu yang boleh menimbulkan
keadaan tersebut.
No comments:
Post a Comment