Saturday, 26 May 2018

KERAJAAN PERLU UTAMAKAN BIDANG PERTANIAN

Kebanyakan fuqaha Islam berpendapat bahawa pertanian adalah lebih afdal atau utama pada pandangan Islam berbanding perniagaan dan perusahaan atau perkilangan. Keadaan ini kerana manfaat pertanian lebih meluas dan kepentingannya tidak dapat dinafikan sebagai bidang yang membekalkan makanan kepada umat. 

Pandangan itu tepat, jika ditinjau dari keadaan yang berlaku hari ini. Ada negara yang dilanda krisis kewangan mengalami kekurangan bahan makanan. Mereka tidak mampu mengimportnya kerana kekurangan tukaran wang asing. 

Jika, sesebuah negara atau masyarakat itu bergantung kepada sumber luar untuk membekalkan bahan makanannya, keadaan ini berisiko tinggi.  Ia mendedahkan negara atau masyarakat itu kepada ancaman dan sabotaj luar pada bila-bila masa. 

Nabi Muhammad SAW menjelaskan kepentingan pertanian dalam sabda Baginda bermaksud: "Andainya kiamat tiba dan pada tangan seseorang daripada kamu ada sebatang anak kurma, maka hendaklah dia tanpa berlengah-lengah lagi menanamkannya." (Hadis riwayat Ahmad)

Begitu penting pertanian hingga pada akhir zaman pun, bidang ini tidak boleh diabaikan. Keadaan itu kerana seperti yang dijelaskan, ia adalah sumber terpenting bagi kehidupan manusia sebagai penyumbang bekalan makanan. 

Sesuai dengan kedudukannya sebagai sektor yang sangat digalakkan, kita dapati ada beberapa insentif diperuntukkan dalam Islam bagi sektor ini, sama ada kebendaan atau kerohanian. 

Bagi umat Islam, bidang pertanian adalah antara cara mudah bagi mendapat pahala dan ganjaran daripada Allah, selain menerima manfaat atau pendapatan halal daripada hasil jualan keluaran pertanian. 

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Tiada seorang Muslim pun yang bertani, lalu hasil pertaniannya dimakan oleh burung atau manusia atau binatang, melainkan dia akan menerima pahala di atas hal itu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Dalam hadis lain, Baginda bersabda maksudnya: "Tiada seorang lelaki menanam sesuatu tanaman, melainkan Allah menetapkan baginya ganjaran sebanyak jumlah buah yang dihasilkan oleh tanaman berkenaan." (Hadis riwayat Ahmad) 

No comments:

Post a Comment