Sebenarnya,
menjadi petani bukan punca menjadi miskin. Sebaliknya sikap kurang berusaha dan
tidak berubah mengikut perubahan semasa menjadi punca. Dalam apa juga kerjaya,
kesungguhan itu paling penting untuk berjaya. Allah SWT menyayangi dan
mengasihi mereka yang tekun melalukan pekerjaan.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Sesungguhnya Allah amat mengasihi seseorang yang apabila melakukan setiap
kerja, dilakukan dengan penuh tekun dan sebaik mungkin.” (Hadis riwayat Baihaqi).
Kini
banyak tanah dan dusun yang diusahakan oleh golongan tua terbiar.
Produktivitinya kurang dan mungkin tiada langsung. Sebab itu amat perlu
golongan muda mengambil alih kerja-kerja tersebut agar hasil pertanian terus
dapat dikeluarkan.
Memadangkan
tugas penghasilan makanan ini termasuk dalam fardu kifayah, maka sesiapa yang
melakukan tugas ini mendapat ganjaran yang besar. Mereka membantu memenuhi
keperluan masyarakat yang amat penting ini. Bayangkan, jika negara kita
menghadapi masalah bekalan makanan disebabkan tidak ada golongan petani?
Seharusnya,
petani berbangga dapat memenuhi keperluan orang lain. Pada masa sama mereka sendiri mendapat rezeki
yang halal untuk memenuhi keperluan hidup. Sedangkan di akhirat pula tersedia
pahala sebagai balasan daripada hasil usaha bercucuk tanam itu.
Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: "Tiada seorang muslim pun yang bertani, lalu hasil pertaniannya
dimakan oleh burung atau manusia atau binatang, melainkan dia akan menerima
pahala di atas hal itu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Kepentingan bidang
pertanian pada pandangan Islam dapat dilihat daripada banyaknya ayat al-Quran
yang menyebutkan mengenai hasil tanaman dan buah- buahan yang pelbagai.
Kegiatan pertanian
dari aspek akidah dapat mendekatkan diri seseorang kepada Allah. Hal ini kerana
tanda kebesaran Allah dapat dilihat dengan jelas dalam proses kejadian
tumbuh-tumbuhan atau tanaman.
Melakukan usaha
pertanian lebih membuatkan seseorang itu memahami hakikat sebenar tawakal
kepada Allah dan beriman kepada kekuasaan-Nya. Petani walaupun perlu bekerja
keras dan menggunakan segala kepakaran untuk menjayakan usaha pertaniannya,
yang memberikan hasil adalah Allah.
Manusia berusaha dan
berdoa agar mendapat hasil baik. Tetapi, jika semua itu dilakukan, tidak juga
mendapat hasil diharapkan, maka petani hendaklah pasrah kepada ketentuan Allah.
Ia hendaklah diterima sebagai sebahagian daripada qada dan qadar Allah. Ini
tidak bermakna manusia tidak dituntut melakukan sebaik mungkin usaha untuk
mengelakkan kesan buruk kejadian itu.
No comments:
Post a Comment