Firman
Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya tentang penduduk di negeri Saba ada
satu perkampungan menjadi bukti (kemurahan Allah), di situ ada dua kebun yang
subur di kanan dan di kirinya. Makanlah
dari rezeki pemberian Tuhan ini dan bersyukurlah kepada-Nya, diberi anugerah
satu negeri yang subur dan makmur, Tuhan Yang Pengampun.” (Surah Saba, ayat 15).
Malaysia
dianugerahkan dengan tanah yang subur dan bekalan air hujan yang mencukupi
untuk mengusahakan bidang pertanian. Malah, pihak kerajaan telah menyediakan
kemudahan perairan dan saliran untuk tujuan memajukan sesuatu kawasan
pertanian. Begitu juga banyak agensi berkaitan pertanian ditubuhkan kerajaan
untuk membantu petani.
Ironinya,
aktiviti pertanian di negara kita masih tidak membanggakan. Keperluan sumber makanan masih banyak yang
perlu diimport.
Mengusahakan
aktiviti pertanian termasuk dalam fardu kifayah. Jadi, tidak sepatutnya perkara
ini dipandang mudah. Rasulullah SAW memberi perhatian penting terhadap bidang
pertanian dan penternakan untuk menyediakan bekalan makan yang cukup untuk
penduduk Madinah. Banyak sahabat yang menjadi petani berjaya dengan memiliki
kebun yang luas dan mengeluarkan hasil yang banyak.
Untuk
mengelak tanah terbiar, pemilik yang tidak mampu mengusakannya perlu
menyerahkan kepada orang lain untuk tujuan bercucuk tananm.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
"Sesiapa yang memiliki tanah, hendaklah dia mengusahakannya, namun jika
dia tidak berupaya melakukannya, maka hendaklah diberikan kepada saudaranya
(supaya diusahakan) dan jangan dia menyewakannya." (Hadis riwayat Abu
Daud)
Usaha
meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara perlu dilakukan sebagai
industri moden, dinamik dan kompetitif. Ini bagi memastikan sektor pertanian
mampu mendatangkan pulangan yang menarik kepada individu atau pihak yang
terlibat dalam sektor berkenaan.
Justeru,
penyertaan golongan muda dalam bidang pertanian amat dialu-alukan. Mereka
diharapkan dapat membawa pembaharuan dalam sektor pertanian, khususnya
pertanian moden yang dapat memberi pulangan yang tinggi.
No comments:
Post a Comment