Saturday, 26 May 2018

GUNA TANAH KOSONG USAHA AKTIVITI PERTANIAN

Kawasan tanah yang kosong perlu dimanfaatkan untuk bercucuk tanam. Menanam bukan bermakna semestinya membuka kebun atau ladang. Apa yang penting ialah melakukan usaha menanam apapun jenis pokok yang boleh mendatangkan hasil.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa yang memiliki tanah, hendaklah dia mengusahakannya, namun jika dia tidak berupaya melakukannya, maka hendaklah diberikan kepada saudaranya (supaya diusahakan) dan jangan dia menyewakannya." (Hadis riwayat Abu Daud)

Sekarang ini dilihat terlalu banyak tanah dibiarkan tanpa diusahakan. Tanah bendang dibiarkan ditumbuhi lalang, sedangkan tanah kebun dipenuhi semak samum. Ini membuktikan tanah-tanah itu subur.  Sekiranya ditanamkan dengan pokok buah-buahan atau tanaman lain tentu mendatangkan hasil yang baik.

Bercucuk tanam mendatangkan sumber makanan dan pendapatan. Biarpun mungkin ia mengambil masa yang panjang untuk mengeluarkan hasil, tidak bermakna orang tua tidak lagi digalakkan melakukannya jika berdaya melakukannya. 

Walaupun mungkin hasilnya nanti tidak dapat dinikmatinya, ganjaran pahala melakukan kerja menanam itu tetap diberikan oleh Allah. Allah menilai apa yang dilakukan sekarang dan bukannya hasilnya nanti. Sebab itu biarpun hampir menemui ajal, sekiranya masih berkesempatan melakukan sesuatu kerja yang baik, maka perlulah diteruskan.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sungguhpun hari kiamat telah hampir, tetapi di tangan salah seorang daripada kamu masih ada benih kurma, maka hendaklah dia segera menanamnya.”- (Hadir riwayat Ahmad dan Bukhari).

Jadikan usaha bercucuk tangan bukan sahaja untuk dimanfaatkan oleh manusia, tetapi juga hidupan lain. Pokok atau buah yang dimakan oleh haiwan dikira sebagai sebahagian daripada sedekah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang muslim pun yang bertani, lalu hasil pertaniannya dimakan oleh burung atau manusia atau binatang, melainkan dia akan menerima pahala di atas hal itu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment